Berita

KUSKOP lancar Program Jom Jelajah Koperasi pada Mei

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 22 April 2024 7:30 PM MYT

KEMENTERIAN Pembangunan Usahawan dan Koperasi melalui agensinya akan melancarkan Program Jom Jelajah Koperasi (JEJAK) pada Mei ini, kata Menterinya Datuk Ewon Benedick.

Beliau berkata program JEJAK merupakan rangsangan perniagaan koperasi dalam industri hospitaliti, penjagaan kesihatan dan kraf melalui aktiviti promosi produk serta perkhidmatan koperasi.

Menurut Ewon Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) mengambil inisiatif dengan mencadangkan pemberian insentif bantuan kepada koperasi yang terlibat dalam industri berkenaan.

“Insentif JEJAK ini dijangka dapat menyokong penglibatan koperasi dalam industri pelancongan domestik dan sebagai persediaan koperasi sempena Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya berucap merasmikan pejabat SKM Wilayah Pantai Barat Utara di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi SKM Lt Jen (B) Datuk Ahmad Norihan Jalal dan Ketua Pegawai Eksekutif SKM Rusli Jaafar.

Ewon berkata kementeriannya juga bersetuju memperuntukkan insentif sebanyak RM2 juta bagi pelaksanaan program Jualan MADANI Koperasi (JMK) di seluruh negara.

Beliau berkata usaha itu mampu menyokong penstabilan harga barangan jualan keperluan asas yang ditawarkan dengan penjimatan hingga 20 peratus.

“Ini merupakan satu daripada inisiatif kerajaan membantu golongan masyarakat dalam menangani kos kenaikan harga barangan,” katanya menambah program JMK juga meningkatkan sebanyak 45 peratus penjualan kedai-kedai koperasi. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas