Berita

Tidak endahkan larangan

LARANGAN STRAW
PENIAGA masih lagi memberikan straw plastik kepada pelanggan walaupun kerajaan sudah menguatkuasa larangan penggunaan produk tidak mesra alam sekitar itu. PENIAGA masih lagi memberikan straw plastik kepada pelanggan walaupun kerajaan sudah menguatkuasa larangan penggunaan produk tidak mesra alam sekitar itu.
- Diterbit 10 Januari 2020 3:35 AM MYT

Oleh MOHAMAD HAFIZ YUSOFF BAKRI
[email protected]

KUALA LUMPUR – Pelaksanaan larangan merokok dan pengharaman penggunaan pe­nyedut minuman plastik yang berkuatkuasa dalam tempoh yang sama mene­rima pelbagai reaksi dalam kalangan orang ramai di ibu negara.

Tinjauan men­dapati, rata-rata peniaga dan pe­milik premis makanan tidak kisah dengan pelak­sanaan peraturan tersebut namun berharap pihak berkuasa memberi maklumat lengkap kepada pengguna berhubung isu penggunaan penyedut minuman plastik.

Bagi peniaga, Abd. Majid Sukiran, 55, berkata, pelaksanaan dua undang-undang berkenaan sekali gus memberi kesan kepada perniagaannya dan menyifatkan penggunaan penyedut minuman sebagai satu keperluan demi mengikut kehendak pelanggan.

“Kalau nak haramkan hi­sap rokok kami tiada masalah. Begitu juga (penyedut minuman) kerana kami boleh jimat sekurang-kurangnya RM2 untuk sebungkus penyedut minuman te­tapi masalahnya pelanggan le­bih selesa.

“Jika kami gunakan pe­nyedut minuman kertas harganya lebih mahal. Pada saya, pelaksanaan ini tidak praktikal. Banyak lagi bahan lain seperti plastik yang memberi kesan kepada alam sekitar,” katanya kepada Wilayahku di sini baru-baru ini.

Pengharaman penyedut minuman berkuat kuasa pada 1 Januari 2020 membabitkan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan manakala tindakan penguatkuasaan undang-undang terhadap perokok ingkar di semua premis makanan bermula 1 Januari lalu di seluruh negara.

Dalam pada itu, penjual air, Sofi Syamsuwirman, 31, berkata, dia tidak dimaklumkan tentang larangan penyedut minuman plastik oleh pihak agensi penguatkuasaan ketika pemeriksaan serta pembaharuan lesen perniagaan dilakukan.

“Kami keliru dan tidak mendapat maklumat lengkap. Dewan Bandaraya Kuala lumpur (DBKL) ada buat pemeriksaan lesen tapi mereka pun tidak beritahu perkara ini.

“Jadi perkara seperti ini seperti tergantung dan me­nimbulkan persoalan sama ada ia benar-benar dilaksanakan atau tidak.

‘‘Yang pasti pengharaman merokok di premis makanan lebih bermatlamat serta praktikal, “ ujarnya.

Bagi pembantu kedai makan, Kamal Kamaruzaman, 34, berkata, ada pelanggan yang beranggapan kami sengaja tidak mahu menggunakan penyedut minuman demi keuntungan.

‘‘Sedangkan hakikat sebenarnya, kami hanya menuruti arahan pihak berkuasa,” ujarnya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas