Selebriti

Kes pukul, ugut bunuh… Aktor popular ditahan reman

- Diterbit 18 Jun 2022 4:21 PM MYT

SEORANG aktor popular ditahan reman tiga hari bermula Sabtu hingga Isnin bagi membantu siasatan kes seorang lelaki dipukul di sebuah kondominium di sini, pada Khamis.

Menurut laporan Sinar Harian, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Habibi Majinji, berkata, pelakon lelaki berusia 30-an berkenaan yang juga penghuni di kondominium sama disyaki menumbuk dan menendang mangsa dalam kejadian pada jam 8.30 malam itu.

Ketika kejadian mangsa dilaporkan meminta tolong rakannya untuk membeli minyak masak di luar kawasan kediaman berkenaan.

Semasa rakan mangsa hendak menghantar minyak masak berkenaan, dia tidak dibenarkan masuk oleh pengawal kondominium itu, katanya ketika dihubungi, pada Sabtu.

Habibi berkata, mangsa kemudian turun ke kawasan lif lobi kondominium berkenaan setelah dihubungi oleh rakannya itu.

Dipercayai berlaku pertengkaran mulut antara mangsa dan pengawal itu, sebelum artis lelaki berkenaan tiba-tiba datang dan menumbuk serta menendang mangsa, katanya.

Beliau berkata, mangsa mendakwa suspek menumbuk dan menendangnya di bahagian muka, dada, perut dan belakang badan selain mencekik serta mengugut akan membunuhnya.

Mangsa kemudian membuat laporan polis dan Bahagian Siasatan Jenayah, Polis Daerah Sentul, memberkas suspek di kediaman sama pada malam Jumaat, katanya.

Sumber: Sinar Harian

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas