Berita

TLDM sahkan 10 kru terkorban nahas pertembungan dua helikopter

- Diterbit 23 April 2024 12:06 PM MYT

TENTERA Laut Diraja Malaysia (TLDM) mengesahkan seramai 10 kru terkorban dalam nahas kejadian pertembungan dua buah helikopter hari ini.

TLDM dalam satu kenyataan akhbar berkata, Helikopter Operasi Maritim (HOM) TLDM dan sebuah helikopter Fennec TLDM telah terhempas semasa raptai Perbarisan Hari TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut pada pukul 9.32 pagi tadi.

“Insiden ini melibatkan seramai 10 orang iaitu masing-masing tujuh kru HOM TLDM dan tiga kru Fennec TLDM.

“Kesemua mangsa disahkan terkorban di tempat kejadian dan dihantar ke Hospital Angkatan Tentera Pangkalan TLDM Lumut untuk proses pengecaman,” katanya hari ini.

Tambahnya, TLDM akan menubuhkan Lembaga Siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian.

“Pihak TLDM memohon orang ramai tidak menularkan video kejadian yang berlaku demi menjaga sensitiviti keluarga dan proses penyiasatan,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas