Artikel

Kepuasan dalam bekerja lebih utama dari upah dan gaji

TERDAPAT golongan yang lebih mementingkan kepuasan bekerja daripada upah yang tinggi. - Gambar hiasan
- Diterbit 23 Jun 2023 2:30 AM MYT

DR ELYA NABILA ABDUL BAHRI

WALAUPUN kajian semula kadar dan struktur upah sedang hangat diperkatakan ketika ini, namun dari sudut lain terdapat pekerja yang lebih memilih mempunyai kehidupan yang lebih sejahtera berbanding upah yang lebih tinggi.

Ada pekerja yang sanggup meninggalkan organisasi kerana tuntutan kerja yang terlalu sibuk walaupun upah yang diterima tinggi. Kebiasaannya, semakin tinggi tingkat upah, semakin tinggi tuntutan kerja yang diperlukan oleh majikan.

Tuntutan kerja yang banyak akan membuatkan pekerja itu sibuk dan perlu melebihkan masanya untuk menyempurnakan tugasan sekali gus kurangnya peruntukan masa untuk bersosial atau bersama keluarga.

Maka tidak hairan jika ada pekerja yang sanggup meninggalkan kerja yang menawarkan upah yang lebih tinggi hanya untuk mengimbangi kehidupan dari segi pekerjaan dan kehidupan sosial.

Misalnya baru-baru ini kita mendengar ada pekerja gaji RM3,700 disusuli dengan tuntutan kerja yang padat sanggup berhijrah kepada pekerjaan sebagai juruwang dengan pendapatan sebanyak RM1,500.

Sebenarnya apabila seseorang pekerja merasa tertekan dengan jadual yang padat, mereka khuatir jika tidak dapat melakukannya dengan baik di samping bimbang dengan pandangan majikan yang menaruh harapan yang tinggi.

Untuk melaksanakan sesuatu kerja dengan baik, keadaan stamina fizikal, minda dan emosi seseorang pekerja perlu berada dalam keadaan yang baik dan tenang untuk mengelakkan kesilapan.

Menurut kajian daripada Randstad baru-baru ini, pekerja sanggup meninggalkan organisasi tempat bekerja sekiranya tiada pertumbuhan kerjaya yang baik, bayaran upah yang rendah dan kos sara hidup yang tinggi.

Selain itu, mereka juga lebih rela angkat kaki jika mendapat tawaran pekerjaan yang lebih baik selain majikan yang mempunyai corak kepimpinan yang lemah.

Dapatan kajian oleh Randstad ini adalah selari dengan dapatan daripada beberapa kajian negara maju dan membangun yang lain.

Antara punca lain ialah faktor pengurusan yang lemah, persekitaran kerja yang tidak kondusif dan pengaruh rakan sekerja.
Tambahan pula, generasi milenial merupakan golongan paling ramai cenderung untuk menukar kerja (42 peratus), diikuti generasi Z (37 peratus) dan generasi X (29 peratus).

Ini memberikan gambaran bahawa keadaan tempat kerja tidak seperti yang diharapkan oleh generasi milenial. Pendedahan dalam rintangan dunia nyata sebenar tidak sama dengan dunia maya di mana mereka lebih terdedah.

Walau bagaimanapun, menukar tempat kerja menunjukkan mereka mudah dan masih mendapat tempat dalam pasaran kerja. Namun begitu, peralihan kerja yang cepat dan kerap akan menyebabkan seseorang pekerja tidak dapat menghayati kerja dengan lebih baik serta mengurangkan nilai senioriti pekerjaan dalam organisasi.

Jika kadar pusing ganti pekerja meningkat, pihak majikan perlu melatih semula pekerja baharu.

Latihan yang diterapkan kepada pekerja baharu akhirnya tidak bertahan lama jika suasana kerja tidak menepati kehendak golongan pekerja. Hal ini akan meningkatkan kos latihan kerana pihak majikan sentiasa melatih pekerja baharu.

Bagi mengurangkan beban kos akibat kadar pusing ganti pekerja yang tinggi, pihak majikan perlu memilih pekerja yang sesuai termasuklah dengan melihat tren kesetiaan pekerja dalam organisasi terdahulu sebelum mengambil calon tersebut untuk bekerja dalam organisasi.

Manakala pekerja akan kekal dalam sesuatu organisasi sekiranya mereka merasakan diri begitu bernilai dalam organisasi dan dihargai, menurut teori ekonomi yang dikenali sebagai ‘pengekalan pekerja berasaskan sumber’ (RBV).

Maka pihak majikan perlu mengatur strategi untuk mengekalkan pekerja bukan sahaja dengan peningkatan upah berbentuk monetari tetapi juga faedah lain yang berbentuk bukan monetari yang dirasakan penting bagi pekerja.

Misalnya dengan menghargai pekerja, mengiktiraf usaha pekerja, memberikan motivasi kepada pekerja dan juga menambah baik kepimpinan organisasi syarikat.

Majikan juga perlu menyediakan program atau kursus yang berbentuk pembangunan stamina fizikal, minda dan emosi ke arah peningkatan produktiviti secara sihat.

Apa yang pekerja perlukan adalah kehidupan yang lebih sejahtera dan keseimbangan antara kerja dan kehidupan yang lebih baik di samping menikmati upah yang lebih tinggi.

Namun upah yang tinggi tanpa tuntutan kerja yang banyak adalah sesuatu yang agak mustahil kerana pihak majikan juga ingin mendapat pulangan balik kepada organisasi daripada peningkatan kos buruh yang ditanggungnya.

Tidak dinafikan bahawa gaji dan upah yang lebih tinggi dapat membantu ke arah kehidupan yang lebih baik kerana kesejahteraan dalam kesihatan, aktiviti sosial dan kehidupan berkeluarga juga memerlukan kos.

Ada pekerja yang sanggup menyerap tekanan kerja dengan sukarela kerana ingin mendapat tingkat upah yang lebih tinggi. Begitu juga dengan tahap kerja yang dituntut oleh majikan setelah pekerja dibayar dengan upah yang tinggi selaras dengan teori kecekapan upah.

Peningkatan jumlah kerja dan upah secara berperingkat dilihat sebagai suatu latihan ketahanan fizikal, mental dan emosi untuk seseorang pekerja melangkah kepada tahap jawatan yang lebih tinggi selaras dengan kesukaran kerja tersebut.

Maka bagi memastikan kehidupan dan keseimbangan kerja – kehidupan yang lebih sejahtera di samping tingkat upah yang lebih tinggi, setiap pekerja perlu bijak mengatur dan menguruskan masa, tenaga dan fokus untuk mengimbangi keperluan monetari dan bukan monetari dalam kehidupan.

Ini kerana kepuasan bekerja merupakan aspek sangat penting bagi memastikan seseorang pekerja dapat bertahan dan meningkatkan tambah nilai kendiri bagi melangkau ke tahap jawatan yang lebih baik dalam organisasi.

PENULIS merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Ekonomi, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas