Berita

Pelepasan taksiran cukai pendapatan Simpan SSPN dilanjutkan

- Diterbit 10 Mei 2024 5:35 PM MYT

PENDEPOSIT Simpan SSPN layak mendapat pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga RM8,000 bagi tahun 2024.

Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Datuk Norliza Abdul Rahim berkata Simpan SSPN merupakan satu-satunya produk simpanan yang menawarkanmanfaat pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan bersih tahun semasa.

“Pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan bersih sehingga RM8,000 setahun
merupakan insentif yang istimewa kepada pendeposit kerana manfaat tersebut menjadikan Simpan SSPN satu-satunya produk simpanan yang memberikan kelebihan berbeza berbanding simpanan lain.

“Ibu bapa sebagai pendeposit Simpan SSPN layak mendapat pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan sehingga RM8,000 setahun setiap seorang sekiranya membuat taksiran cukai secara berasingan.

“Manakala, ibu bapa sebagai pendeposit yang membuat taksiran cukai bersama layak mendapatkan pelepasan taksiran cukai sehingga RM8,000 setahun untuk satu pasangan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Norliza berkata PTPTN komited dan konsisten
dalam menggalakkan ibu bapa untuk membuat perancangan kewangan awal bagi tujuan
pendidikan anak-anak.

“Simpan SSPN menawarkan pelbagai keistimewaan dan manfaat kepada pendeposit antaranya insentif pelepasan taksiran cukai pendapatan,perlindungan takaful ke atas pendeposit, Geran Sepadan sehingga RM10,000 untuk satu keluarga yang layak, kadar dividen yang kompetitif, simpanan yang dijamin kerajaan dan patuh syariah.

“Oleh itu, saya menyeru kepada masyarakat Malaysia untuk membuat simpanan dalam Simpan SSPN agar berpeluang menikmati insentif pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga RM8,000 setahun bagi tahun taksiran 2024. Masyarakat Malaysia perlu mengambil peluang membuat simpanan melalui Simpan SSPN yang menawarkan pelbagai keistimewaan dan manfaat kepada pendeposit,” ujarnya.

Tambah beliau, sehingga 31 Mac 2024, deposit Simpan SSPN yang diterima adalah berjumlah RM17.75 bilion dengan 6.32 juta akaun direkodkan.

“Ini menunjukkan Simpan SSPN menjadi pilihan utama masyarakat Malaysia untuk membuat penabungan bagi tujuan pendidikan tinggi. Pembukaan akaun atau penambahan simpanan boleh dibuat secara dalam talian melalui aplikasi myPTPTN dengan lebih mudah, cepat dan selamat atau layari portal rasmi PTPTN di www.ptptn.gov.my untuk maklumat lanjut,” katanya.

Selain itu, PTPTN turut mengadakan Cabutan Siri WOW! Syoknya Raya 2024 yang menawarkan hadiah lumayan iaitu wang tunai keseluruhan berjumlah RM100,000 untuk 181 pemenang. Hadiah utama berjumlah RM10,000 untuk satu pemenang dan hadiah sagu hati berjumlah RM500 untuk 180 pemenang. Kempen ini terbuka kepada semua pendeposit Simpan SSPN iaitu Simpan SSPN Prime dan Simpan SSPN Plus yang akan berakhir pada 30 April 2024. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas