Artikel

Aidiladha: Penternak lembu jadi korban situasi ekonomi semasa?

HARGA lembu bergantung kepada saiz haiwan tersebut.
- Diterbit 30 Jun 2023 5:00 AM MYT

DR AMANUDDIN SHAMSUDDIN

ISU ekonomi negara dan peningkatan kos sara hidup yang sedang dihadapi oleh rakyat Malaysia pada masa ini memberi kesan kepada banyak pihak. Rata-rata rakyat mengeluh dengan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan yang terpaksa didepani mereka.

Keluhan mereka bukan berkaitan dengan sesuatu kemahuan (wants – nice to have) tetapi menjurus kepada keperluan asas (necessity need to have) seperti barangan makanan, pakaian, tempat tinggal dan perkhidmatan asas seperti pengangkutan, perubatan dan pendidikan.

Antara yang terkesan dengan situasi ini adalah penternak atau pengusaha lembu yang mengalami kemerosotan penjualan lembu-lembu mereka khususnya menjelang Aidiladha atau Hari Raya Korban.

Lazimnya, penternak lembu adalah golongan yang teruja untuk menyambut Hari Raya Korban, selain daripada jemaah haji yang berada di Tanah Suci Makkah. Ini adalah kerana hasil jualan lembu-lembu mereka meningkat pada waktu ini kerana permintaan yang tinggi untuk pelaksanaan ibadah korban.

Namun pada tahun ini, berdasarkan bacaan dan laporan yang diterima, kebanyakan penternak lembu mengalami penurunan permintaan atau jualan 15 hingga 20 peratus. Penurunan permintaan untuk lembu korban ini mungkin disebabkan oleh beberapa faktor.

Antara faktor yang ketara adalah dari segi kenaikan harga lembu dan juga kemampuan pembeli.

Hasil tinjauan, didapati harga seekor lembu adalah sekitar RM4,900 hingga RM6,020 bergantung kepada saiz lembu tersebut. Sekiranya lembu tersebut dijadikan lembu korban, purata satu bahagian lembu (1/7) adalah antara RM700 hingga RM860.

Dalam keadaan ekonomi semasa dengan kenaikan kos sara hidup, pembeli atau individu yang berhasrat untuk menunaikan ibadah korban terpaksa menangguh dahulu hasrat atau hajat mereka bagi menyalurkan wang tersebut kepada keperluan utama atau asas yang lebih mendesak.

Sungguhpun ibadah korban amat dituntut untuk dilaksanakan dalam Islam bagi yang berkemampuan, namun ia mungkin terpaksa ditangguhkan pada tahun ini dengan azam dan harapan rezeki akan bertambah atau harga akan berkurangan pada tahun-tahun akan datang.

Dalam situasi sebegini, penternak lembu tidak boleh sewenangwenangnya menurunkan harga lembu mereka bagi menarik permintaan yang lebih tinggi. Ini kerana mereka juga terpaksa menanggung kos yang tinggi khususnya melibatkan kenaikan makanan ternakan seperti dedak.

Bagi individu yang tekad dan bersungguh-sungguh untuk melaksanakan ibadah korban, ada di antara mereka yang memilih untuk berkorban di luar negara seperti di Kemboja, Laos, Vietnam, Indonesia serta negara-negara timur tengah seperti Syria, Palestin, Yaman dan Iraq kerana harga lembu yang lebih murah (bergantung kepada negara serta agensi yang menguruskan ibadah korban).

Banyak agensi atau badan bukan kerajaan (NGO) serta individu yang menawarkan perkhidmatan korban di luar negara ini. Namun adalah disarankan supaya individuindividu yang berhasrat untuk berkorban di luar negara membuat semakan dan penyelidikan terlebih dahulu terhadap agensi, NGO atau individu berkaitan bagi mengelakkan sebarang penipuan atau mengakibatkan ibadah korban yang tidak sah.

Sememangnya melakukan atau mengambil bahagian di dalam ibadah korban adalah menjadi hasrat bagi setiap muslim yang beriman, namun kekangan kewangan atau ekonomi semasa mungkin membantutkan hasrat murni individu tersebut.

Sekiranya individu berkenaan mempunyai azam dan nekad yang kuat untuk menunaikan perintah Allah SWT yang satu ini, mungkin boleh membuat perancangan awal tabungan pada setiap hari, minggu, bulan dalam kadar kemampuannya bagi tujuan ini.

Tabungan ini boleh bermula seawal bulan Muharam, bulan pertama Hijrah iaitu selepas sahaja berakhirnya bulan Zulhijah di mana ibadah korban dilakukan dalam bulan tersebut (10-13 Zulhijah).

Dalam erti kata lain, mereka mempunyai masa hampir setahun untuk mencukupkan tabungan tersebut. Jika diandaikan harga sebahagian korban (1/7) adalah RM860 pada tahun hadapan, individu tersebut hanya perlu menyimpan kira-kira RM72 sebulan atau RM16 seminggu atau RM2.35 sehari.

Kesimpulannya, selain daripada berdoa kepada Allah SWT, usaha yang sedikit tetapi berterusan akan mencapai matlamatnya sebagaimana peribahasa Melayu menyebut ‘sikit-sikit lama-lama jadi bukit’ dan ‘sehari selembar benang, lama-lama menjadi kain.’

Cadangan seterusnya, pihak kerajaan perlu memastikan pemain industri mematuhi harga kawalan makanan ternakan dan pengawalan harga perlu juga dibuat dalam rantaian industri.

Dengan adanya pengawalan harga ini, ia dapat memastikan semua pihak khususnya pengguna, rakyat, penternak dan industri mencapai matlamat dan habuan masing-masing.

Bagi sesetengah pihak, isu yang diketengahkan ini mungkin boleh dianggap remeh dan menjurus kepada sesuatu kelompok atau golongan tertentu sahaja. Namun, apa yang harus diperhalusi adalah berkaitan dengan keadaan ekonomi semasa negara dan permasalahan yang dihadapi oleh rakyat secara umumnya.

Sebagai kesimpulan, dalam keadaan ekonomi sekarang, rakyat sangat mengharapkan agar kerajaan dan pihak-pihak yang berkepentingan dapat sama-sama memikirkan dan mengambil tindakan demi kesejahteraan hidup.

Cabaran serta tekanan yang dihadapi oleh negara bukan sahaja dari dalam negara tetapi juga datang dari luar negara yang mana agak sukar untuk ditangani secara terus atau langsung.

Oleh yang demikian, permasalahan dalam negara seperti isu ekonomi dan kenaikan kos sara hidup ini seharusnya ditanggung oleh semua pihak dan perlu menggembleng usaha dan tenaga ke arah kesejahteraan rakyat dan negara Malaysia yang tercinta ini.

Sama-samalah kita mendepaninya kerana ‘bulat air kerana pembentung, bulat kata kerana muafakat.’

PENULIS merupakan Profesor Madya, Dekan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) Business School (UBS).

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas