Berita

Pertemuan bersama Dr Zaliha, suntik semangat warga YWP

- Diterbit 10 Mei 2024 10:57 AM MYT

WARGA kerja Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) teruja Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa sudi meluangkan masa hadir pada Majlis Sambutan Aidilfitri YWP baru-baru ini.

Kehadiran beliau juga diraikan ahli-ahli Lembaga Pemegang Amanah dan anak syarikat YWP yang turut meluangkan masa beramah mesra bersama beliau.

Berkongsi perasaan teruja, Eksekutif Muda Seksyen Pendidikan, Jabatan Pembangunan Komuniti YWP (PESAT), Nur Syazwani Ismail menyifatkan beliau seorang yang peramah dan mudah didekati.

“Kita semua sedia maklum, sebagai Menteri Wilayah Persekutuan pastinya beliau berdepan dengan kekangan masa namun kesudian untuk hadir pada majlis ini merupakan penghargaan buat kami,” katanya.

Sementara itu, Pembantu Operasi Syarikat Perumahan Wilayah Persekutuan (SPWP), Haziq Asnawi Hassan Azhari pula teruja bertemu figura tersebut buat pertama kali.

“Sebagai salah seorang kakitangan YWP yang berkhidmat di SPWP, saya berasa teruja dapat bertemu dengan beliau dan memberi ucapan suntikan semangat kepada warga kerja YWP.

“Selaku Menteri Wilayah Persekutuan, bagi saya beliau seorang pemimpin yang berkaliber dan sentiasa cakna dengan situasi yang berlaku di ketiga-tiga wilayah ini.

“Jadi, kami terinspirasi dengan keprihatinan beliau sekali gus memberi semangat buat warga YWP untuk terus membantu warga kota yang kurang berkemampuan supaya tidak tercicir,” ujarnya.

Terdahulu, Zaliha buat pertama kali hadir beramah mesra bersama seluruh warga kerja YWP di Kompleks Arena Sukan Kuala Lumpur.

Ia merupakan kunjungan kali pertama beliau sejak bertukar portfolio daripada Menteri Kesihatan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) pada rombakan Kabinet lalu.

Sebagai rekod, YWP merupakan Syarikat Berhad Menurut Jaminan yang ditubuhkan pada 9 April 1986 bertujuan untuk membantu menaik taraf hidup golongan berpendapatan rendah dan memerlukan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas