Berita

Trend bayar zakat akhir tahun rumit proses agihan

- Diterbit 10 Mei 2024 4:55 PM MYT

MAJLIS Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) memaklumkan trend para pembayar zakat membuat bayaran di akhir tahun menyumbang kepada situasi wang zakat tahun semasa tidak dapat diagihkan pada tahun sama.

MAIWP dalam satu kenyataan berkata, pihaknya tetap berusaha dan mengagihkan wang kutipan zakat tersebut seberapa segera supaya tidak timbul sebarang spekulasi atau dakwaan wang zakat tidak digunakan sepenuhnya.

“MAIWP menerusi Pusat Pungutan Zakat (PPZ) MAIWP telah berjaya mengutip zakat di Wilayah-Wilayah Persekutuan bagi tahun 2023 sebanyak RM1.031 bilion iaitu peningkatan sebanyak 11 peratus berbanding kutipan pada tahun 2022.

“MAIWP sentiasa berusaha dari semasa ke semasa mengagihkan wang kutipan zakat kepada asnaf di Wilayah-Wilayah Persekutuan melalui 38 buah skim-skim agihan yang MAIWP sediakan,” katanya hari ini.

Tambah MAIWP, sehingga Disember 2023, MAIWP telah berjaya mengagihkan sebanyak RM1.02 bilion bersamaan dengan 98.8 peratus daripada jumlah kutipan yang dikumpul.

“Agihan ini adalah meliputi agihan secara langsung RM1 bilion iaitu 97.28 peratus. Agihan zakat secara langsung adalah agihan mengikut kluster-kluster kebajikan, perlindungan, ekonomi, perubatan, pendidikan dan pembangunan ummah.

“Manakala baki RM15.6 juta iaitu 1.52 peratus adalah daripada agihan secra tidak langsung. Agihan tak langsung adalah merupakan penyediaan perbelanjaan prasarana bagi umat Islam,” jelasnya.

MAIWP berkata, bagi tahun 2024, peruntukan perbelanjaan agihan zakat MAIWP berjumlah RM1.305 bilion.

“Jumlah ini melebihi 17 peratus bersamaan RM190.4 juta daripada sasaran kutipan agihan zakat tahun ini yang berjumlah RM1.115 bilion.

“Peruntukan agihan ini mengambil kira wang kutipan zakat yang tidak sempat diagihkan di penghujung tahun 2023.
“Sehingga April 2024, MAIWP telah mengagihkan sebanyak RM328 juta,” ujarnya.

Baru-baru ini media melaporkan, bekas menteri agama, Datuk Idris Ahmad menyifatkan, baki wang zakat yang tidak diagihkan tidak sepatutnya berlaku kerana kutipan itu merupakan hasil sumbangan seramai 1.85 juta rakyat di negara ini.

Katanya, jika kutipan itu digunakan sepenuhnya, golongan asnaf terutama yang menetap di bandar tidak akan sentiasa bertambah setiap tahun. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas