Artikel

Kerana pemandu songsang…

Seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi jenis Ducati Panigale, maut selepas terjatuh dari jejambat Lebuhraya Sungai Besi Ulu Kelang (SUKE) berhampiran Ulu Kelang 14 Jun lalu.
- Diterbit 23 Jun 2023 1:00 AM MYT

CERITA KEDAI KOPI

cerita kedai kopi wilayahku

AKIBAT kecuaian orang lain, penunggang motosikal besar yang tidak berdosa terbunuh dalam kemalangan di Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) baru-baru ini.

Penunggang mosikal Ducati Panigale, Ahmad Fadzil Omar Azzadin, 62, meninggal dunia akibat kecederaan parah selepas terbabas dan jatuh dari jejambat SUKE dalam usaha mengelak penunggang motosikal lain yang melawan arus.

Kawan-kawan Kedai Kopi bersimpati dengan keluarga Allahyarham dan semoga bersabar. Mudah-mudahan roh arwah dicucuri rahmat dan diampuni dosa. Sungguh tragis kematian disebabkan kelalaian orang lain. Namun itulah ketentuan Ilahi.

Begitu pun, isu ini perlu diberi perhatian serius kerana kes kenderaan dipandu melawan arus sudah beberapa kali berlaku, bukan sahaja di Kuala Lumpur tetapi di tempat-tempat lain. Ada kes sengaja melawan arus, ada juga kerana pengaruh dadah atau minuman keras.

Pemandu seperti ini tidak harus berada di atas jalan raya. Tetapi siapa boleh menjangka mereka akan melakukan perbuatan gila yang membahayakan orang lain sehingga meragut nyawa. Apabila kemalangan sudah terjadi, baharulah diketahui perbuatan mereka.

Bagi kawan-kawan Kedai Kopi, pemandu berbahaya adalah ancaman kepada semua pengguna jalan lain. Bukan sahaja kisah melawan arus, tetap banyak kes lalai memandu akibat terlena, mabuk, dipengaruhi dadah atau kenderaan tidak berfungsi dengan baik.

Maka berlakulah kes seperti pemandu merempuh mereka yang sedang berteduh daripada hujan di bawah jejambat, rempuhan yang membawa maut. Ada pula rempuhan terhadap polis yang mengadakan sekatan jalan raya sehingga maut.

Selain itu banyak kes kenderaan besar, terutama lori, merempuh kenderaan yang sedang bergerak atau berhenti pada lampu isyarat, membawa kepada kematian. Alasan sering diberi kerana kerosakan brek.

Kenapa kenderaan yang tidak berada dalam keadaan baik dibiar bergerak di jalan raya? Tidak pedulikah membuat pemeriksaan teliti terlebih dahulu sebelum bergerak? Kenapa sudah berlaku kemalangan baru mendakwa kerosakan itu dan ini?

Apabila sudah berlaku kemalangan barulah pihak polis atau Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mendedahkan pemandu tersebut telah melakukan banyak kesalahan lalu lintas dengan banyak saman belum dijelaskan.

Mungkin bangga memaklumkan kepada orang ramai tetapi sudah terlambat. Kenapa tiada tindakan awal jika saman tidak dibayar sehingga berlonggok? Ini akan hanya menyebabkan orang ramai tertanya-tanya dan memberi gambaran kurang baik terhadap pihak penguat kuasa.

Kawan-kawan Kedai Kopi berharap kecuaian di jalan raya ditangani dengan serius tanpa kompromi. Pelaku mesti diambil tindakan tanpa belas kasihan. Jangan biarkan orang berbahaya ini berkeliaran di jalan raya mengancam keselamatan orang lain.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas