Berita

Polis tutup, lencong laluan sekitar KL pada Ahad ini sempena acara berbasikal

- Diterbit 10 Mei 2024 5:38 PM MYT

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan penutupan dan lencongan beberapa jalan di sekitar Kuala Lumpur sempena acara sukan berbasikal bertaraf dunia, Grand Fondo New York (GNFY) pada Ahad ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata penutupan secara berperingkat akan diadakan seawal pukul 6.30 pagi.

“Acara sukan tersebut akan bermula pukul 6.45 pagi dan dijangka berakhir pukul 11 pagi melibatkan penyertaan seramai 385 peserta dari pelbagai negara. Pertandingan ini diadakan secara dua peringkat iaitu 130 kilometer (km) dan 65.7 km.

“Laluan yang digunakan melibatkan 40 km di dalam Pusat Bandar Kuala Lumpur manakala selebihnya melalui kawasan Selangor yang melibatkan kawasan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak dan IPD Hulu Selangor,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Rusdi, pihak polis ingin menasihatkan kepada seluruh warga kota Kuala Lumpur terutama kepada pengguna jalan raya agar menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam seperti MRT, LRT dan khidmat e-hailing.

“Elakkan dari menggunakan atau melalui jalan-jalan yang terjejas akibat penutupan untuk ke destinasi yang dituju.

“Patuhi arahan anggota polis yang bertugas bagi memastikan pengurusan lalu lintas berjalan dengan lancar,” ujarnya.

Tambah Rusdi, untuk sebarang pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi Hotline DBKL: 03-26179378, Hotline Trafik KL: 03-20719777 atau membuat rujukan di Facebook PolisKL dan Facebook TrafikKL.

Berikut adalah laluan yang terbabit dengan acara berkenaan:

Dataran Merdeka – Jalan Raja – Jalan Raja Laut – Jalan Sultan Ismail (Laluan Salah) – Jalan Tunku Abdul Rahman – Jalan Tun Perak – Jalan Raja Chulan – Jalan Conlay – Jalan Stonor – Jalan Kia Peng – Jalan Perak – Jalan P. Ramlee – Jalan Ampang – Jalan Sultan Ismail ( dari persimpangan menggunakan laluan salah sehingga ke persimpangan Jalan Raja Laut / Jalan Sultan Ismail ) – Jalan Raja Laut – Jalan Putra – Jalan Tun Ismail – Jalan Dato Onn – Jalan Sultan Salahuddin – Jejambat Wisma Tani – Lebuhraya Sultan Iskandar – Jalan Parlimen – Jalan Persiaran Tuanku Ja’afar – Jalan Damansara – Jalan Bukit Petaling – Jalan Hang Tuah – Jalan Imbi – pusingan U Lampu Isyarat Times Square – Jalan Imbi – Jalan Hang Tuah – Jalan Bukit Petaling – Jalan Istana – Jalan Sungai Besi – Bulatan Sg Besi – Jalan Tun Razak – Jalan Kuching – Bulatan Batu Caves – [pecahan kategori akan berlaku di Gombak, Selangor] – Jalan Kuching – Dataran Merdeka. – WILAYAHKU.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas