Artikel

Prestasi pintar KL meningkat

- Diterbit 10 Mei 2024 9:25 AM MYT

KUALA Lumpur berada pada kedudukan ke-73 bandar raya terpintar daripada 142 bandar raya seluruh dunia. Kedudukan ini berdasar Indeks Bandar Raya Pintar (SCI) 2024 yang dikeluarkan oleh Institut Pembangunan Pengurusan (IMD), Switzerland, baru-baru ini.

Kawan-kawan Kedai Kopi tumpang bangga dengan prestasi dicapai oleh Kuala Lumpur yang berjaya melonjakkan kedudukannya dengan ketara. Tahun lepas ibu negara berada pada kedudukan ke-89, bererti lonjakan 16 anak tangga.

Laporan berkenaan memuji prestasi membanggakan Kuala Lumpur, antaranya dalam aspek kemudahan pembelian tiket dalam talian serta penyenaraian pekerjaan dalam talian yang memudahkan urusan mencari pekerjaan.

Turut menerima pujian ialah kaedah temu janji perubatan dalam talian yang mampu menambah baik akses kepada khidmat perubatan. Juga struktur mobiliti seperti jualan tiket dan penjadualan pengangkutan awam dalam talian yang memudahkan urusan khidmat pengangkutan awam.

Namun laporan itu juga menyentuh isu kesesakan lalu lintas di ibu kota. Bagi kawan-kawan Kedai Kopi, aspek ini bukan sahaja dihadapi oleh Kuala Lumpur tetapi juga kebanyakan bandar raya lain di seluruh dunia.

Yang penting, di ibu negara, usaha berterusan dilakukan untuk menangani isu ini. Untuk itu kerajaan menyediakan kemudahan pengangkutan awam yang lebih efisien dan sistematik serta sentiasa ditambah baik.

Ini termasuk mengadakan laluan khas untuk bas bagi memastikan perjalanan lancar dan tidak tersangkut dalam kesesakan. Juga khidmat monorel, Transit Aliran Ringan (LRT) dan Trasit Aliran Massa (MRT) yang ternyata menjadi pilihan warga kota.

Selain itu jalan baharu dibina, atau rangkaian jalan raya sedia ada ditambah baik untuk menampung pergerakan lebih banyak kenderaan, terutama pada waktu puncak. Pendek kata segala usaha dilakukan kerajaan bagi mengurangkan kesesakan di ibu negara dan usaha ini akan berterusan.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas