Berita

Permohonan Fasa 2 UPUOnline dibuka mulai hari ini hingga 9 Jun

- Diterbit 30 April 2024 12:25 AM MYT

KEMENTERIAN Pendidikan Tinggi (KPT) memaklumkan permohonan Fasa 2 UPUOnline bagi kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam sesi akademik 2024/2025 ke program Asasi, Sijil, Diploma & Ijazah Sarjana Muda akan dibuka mulai hari ini hingga 9 Jun depan.

KPT dalam satu kenyataan berkata permohonan dibuka untuk kemasukan ke 20 universiti awam (UA), 36 politeknik, 105 kolej komuniti dan empat institusi latihan kemahiran awam (ILKA).

Tambahnya, permohonan hanya dibuka bagi program pengajian yang tidak bertemu duga dan atau ujian sahaja.

“Semua calon yang berkelayakan adalah dipelawa mengambil peluang ini bagi menyambung pengajian di peringkat pendidikan tinggi.

“Terdapat sebanyak 504 buah program pengajian ditawarkan kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan 1,114 buah program pengajian ditawarkan kepada lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) atau setaraf oleh UA, Politeknik, Kolej Komuniti dan ILKA seluruh negara,” katanya hari ini.

Menurut KPT, pembelian Nombor Pin UPUOnline boleh dibuat melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) mulai 28 Februari sebelum mengemukakan permohonan.

“Kaedah bayaran di BSN melalui 350 Kaunter Cawangan BSN, 700 Mesin Juruwang Automatik (ATM) BSN dan Perbankan Internet myBSN.

“Pihak BSN akan mengeluarkan nombor Pin berserta salinan resit pembayaran,” ujarnya.

Sementara itu, KPT menasihati semua calon untuk pastikan slip pembayaran sebagai bukti sah pembelian disimpan untuk rujukan.

“Bagi calon yang telah membuat pembelian nombor PIN pada Fasa 1 juga boleh mengemaskini permohonan ketika Fasa 2 ini,” katanya. – WILAYAHKU.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas