Berita

Kalendar Pelancongan Labuan 2023 melibatkan 40 acara

RITHUAN (tengah) menunjukkan Kalendar Pelancongan Labuan 2023 dihiasi dengan lebih 40 acara yang bakal diadakan sepanjang tahun ini.
- Diterbit 4 Mac 2023 8:00 PM MYT

PERBADANAN Labuan (PL) bakal menganjurkan lebih 40 acara pelancongan sepanjang tahun ini di dalam Kalendar Pelancongan Labuan 2023 yang mampu merealisasikan Labuan sebagai destinasi pelancongan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Rithuan Mohd Ismail berkata acara-acara itu adalah sebagai satu wadah bagi menghidupkan semula sektor pelancongan yang merundum sebelum ini akibat COVID-19 di samping merangsang pertumbuhan ekonomi domestik di pulau itu.

“PL masih mengekalkan beberapa ‘signature event’ seperti Labuan International Sea Challenge (LISC), Borneo Arts Festival (BAF) dan Remembrance Day (RD). Menariknya pada tahun ini acara LISC mendapat penyertaan penuh seramai 229 pemancing dari dalam dan luar negara seperti Australia, Hong Kong, Macau dan Brunei berbanding tahun sebelum ini.

“Pada 2022, PL merekodkan kehadiran sejumlah 10,000 pengunjung selama tiga hari semasa berlangsungnya BAF dan pada tahun 2023 ini PL mensasarkan peningkatan kehadiran pengunjung melebihi angka tersebut,” katanya kepada pemberita baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Rithuan berkata pihaknya turut memperkenalkan beberapa penganjuran pihak swasta di dalam kalendar pelancongan antaranya ialah Mega Gaths & Autoshow berkonsepkan pameran kereta mewah yang bakal diadakan pada Mac tahun ini.

Selain itu, beliau turut memaklumkan penganjuran Borneo Art Festival (BAF) yang diadakan pada tahun lalu telah mencatatkan sebanyak 10,000 pengunjung dan ia menjadikan satu penganjuran yang mencatatkan kunjungan terbesar.

“Selain itu, penganjuran International Cat Exhibition turut disasarkan akan menjadi tarikan kerana penglibatan penyertaan daripada luar negara,” katanya. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas