Berita

Engineering Day 2024 beri pendedahan kepada golongan muda

- Diterbit 24 April 2024 5:39 PM MYT

ENGINEERING Day 2024 merupakan platform terbaik bagi memberi pendedahan kepada pelajar sekolah menengah terutamanya mengenai dunia kejuruteraan.

Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata menerusi program tersebut ia bukan sahaja membuka peluang kepada pelajar sekolah menengah di sekitar kawasan Putrajaya dan Kajang tetapi juga sebagai platform dalam memperkukuh hubungan antara institusi pendidikan dan masyarakat.

“Kita membawa kira-kira 13 buah sekolah dari Bandar Tun Razak melibatkan seramai 145 pelajar tingkatan 5 menyertai program yang berlangsung pada hari ini.

“Objektif utama program ini adalah untuk menggalakkan penglibatan pelajar sekolah dalam aktiviti STEM seterusnya dapat meningkat potensi pelajar untuk memilih bidang ini sebagai hala tuju selepas SPM.

“Selain itu, ia dapat memperkenalkan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) kepada pelajar sekolah dan memberi pendedahan kepada mereka tentang bidang pengajian yang ditawarkan di sini,” katanya kepada media selepas merasmikan Program Engineering Day 2024 bertempat di Dewan Seri Sarjana UNITEN hari ini.

Tambah beliau, program ini juga dapat memberi pendedahan kepada guru dan kaunselor di sekolah berkenaan teknologi terbaru dalam industri tenaga lestari sekali gus dapat meletakkan UNITEN selaku universiti pilihan dalam pemilihan dan perkembangan karier.

Mengulas lanjut, Azizah berkata program ini juga merupakan antara usaha untuk mengatasi masalah pengambilan STEM yang semakin menurun.

“Semasa program berlangsung, pendidikan STEM dipersembahkan melalui stesen-stesen aktiviti STEM. Sebanyak lima stesen disediakan iaitu Stesen Kit Tenaga Bolehbaru (Renewable Energy Kit), Stesen Permainan Realiti Maya (Virtual Reality), Stesen Darbot (robotik), Stesen Reka Bentuk Kejuruteraan dan Pencetakan 3D serta Stesen Panel Suria.

“Justeru itu, diharapkan program ini dapat memberi impak yang positif kepada para pelajar dan menyumbang kepada perkembangan ilmu dan minat mereka dalam bidang kejuruteraan,” ujarnya.

Terdahulu, program tersebut anjuran UNITEN dengan kerjasama Biro Pendidikan Parlimen Bandar Tun Razak, Penggerak Penglibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (PIBKS) PPD Bangsar/Pudu, Pejabat Pendidikan Daerah Bangsar Pudu Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan (JPWPKL) serta Yayasan Gerbang Bandar Tun Razak, Yayasan Bank Rakyat dan Yayasan Canselor UNITEN.

Turut hadir Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin dan Naib Canselor UNITEN, Profesor Ir Dr Khairul Salleh Mohamed Sahari. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas