Berita

Karnival VIKids Alamanda meriahkan musim cuti sekolah 2023

PELBAGAI aktiviti menarik disediakan buat kanak-kanak yang hadir.
- Diterbit 4 Mac 2023 4:00 AM MYT

BERSEMPENA musim cuti persekolahan, ruang legar utama Pusat Beli-Belah Alamanda Putrajaya menjalani transformasi yang menjanjikan kemeriahan, kegembiraan serta suasana selaras dengan tema cuti persekolahan melalui penganjuran Karnival VIKids.

Ketua Pegawai Eksekutif Suria KLCC Sdn Bhd, Andrew Brien berkata karnival yang berlangsung bermula 18 Februari sehingga 12 Mac 2023 ini membawakan pelbagai aktiviti menarik dengan menampilkan permainan menyeronokkan selain daripada aktiviti fizikal untuk kesemua ahli VIKids.

“Ahli VIKids layak menerima sekeping pas karnival dan boleh ditebus setiap hari selagi stok masih ada. Tebusan pas juga adalah terhad untuk dua ahli VIKids bagi setiap keluarga.

“Melalui Pas Karnival VIKids, kanak-kanak berpeluang untuk merasai pengalaman menaiki karusel, ‘kiddie rides’ selain dari peluang untuk bermain permainan arked dan taman tema seperti bola keranjang serta aktiviti cat muka dan tangan.

“Setiap Pas Karnival akan dilabel setelah ahli VIKids melengkapkan aktiviti-aktiviti di karnival dan pas Karnival tersebut perlu diserahkan kepada kaunter servis untuk mendapatkan peluang memenangi hadiah di ‘Wheel of Prizes’,” katanya selain daripada kepelbagaian aktiviti menarik, kanak-kanak juga akan mendapat gula-gula kapas yang akan diedarkan secara percuma.

Tambah beliau, Karnival VIKids juga akan dimeriahkan dan disambut dengan keriangan berganda apabila persembahan yang menghiburkan akan dipertontonkan kepada para pengunjung pada hujung minggu.

Para pengunjung cilik akan dihiburkan dengan persembahan akrobatik, pertunjukan silap mata, selain daripada aktiviti ukiran belon yang dibentuk kepada pelbagai jenis objek dan haiwan.

Selain itu, kanak-kanak yang belum mempunyai keahlian VIKids boleh membuat pendaftaran melalui perbelanjaan yang dilakukan dengan nilai serendah RM50 melalui mana-mana dua resit di kedai-kedai terpilih di Pusat Beli-Belah Alamanda Putrajaya dan terbuka untuk kanak-kanak yang berusia 5 sehingga 12 tahun. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas