Berita

DNB umum lantik ahli lembaga pengarah baharu

- Diterbit 25 April 2024 3:21 PM MYT

DIGITAL Nasional Bhd (DNB) telah melantik ahli lembaga pengarah baharu, yang terdiri daripada pemimpin-pemimpin kanan industri telekomunikasi dan teknologi, berkuat kuasa 24 April, 2024.

DNB dalam satu kenyataan hari ini berkata ini berikutan perjanjian langganan saham yang ditandatangani di antara DNB, Kementerian Kewangan Diperbadankan dan lima pengendali rangkaian mudah alih (MNO) pada 1 Dis, 2023.

Ia berkata ahli lembaga pengarah baharu dan pengganti mereka akan menyertai dua lagi ahli penyandang iaitu Datuk Johan Mahmood Merican dan Ma Sivanesan Marimuthu.

Mereka ialah daripada CelcomDigi (Infranation Sdn Bhd) Datuk Kamal Khalid, Maxis Broadband Sdn Bhd Uthaya Kumar K Vivekananda, U Mobile Sdn Bhd Chang Yit Fei dan Tan Kok Leong, Telekom Malaysia Bhd Nik Azli Abu Zahar dan Mohamed Tajul Mohamed Sultan dan YTL Power International Bhd Datuk Seri Yeoh Seok Hong dan Datuk Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek.

Sehubungan itu DNB berharap untuk mendapatkan input dan panduan berharga daripada lembaga pengarah baharu dalam memacu kemajuan infrastruktur digital Malaysia dan penggunaan teknologi 5G yang merentas industri, perusahaan, sektor awam dan pengguna. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas