Berita

1,000 pelajar sertai MFLS Tier 1 tahun 2023

1,000 pelajar melibatkan lima buah sekolah di Labuan menyertai Program Malaysia Future Leaders School (MFLS) Tiers 1, baru-baru ini.
- Diterbit 4 Mac 2023 9:00 PM MYT

PIHAK Institut Pembangunan dan Kecemerlangan Kepimpinan (i-LEAD) Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sentiasa berusaha untuk mengekal dan meningkatkan kualiti program dari semasa ke semasa bagi memastikan Malaysia Future Leaders School (MFLS) terus relevan sebagai sebuah program nasional yang membentuk pemimpin pelapis.

Program MFLS Tier 1 yang merupakan peringkat saringan dilaksanakan oleh pihak sekolah untuk mengenal pasti pelajar yang efektif dalam pengurusan diri berdasarkan elemen pencapaian akademik, kegiatan kokurikulum, sahsiah dan kecergasan fizikal.

Bermula pada tahun 2023, pengisian baharu bagi memperkasakan Program MFLS Tier 1 dilaksanakan di sekolah-sekolah terpilih di seluruh negara secara bersemuka.

Perancangan jumlah Program MFLS Tier 1 pada tahun 2023 sebanyak 86 program. Setiap program akan melibatkan penyertaan peserta seramai 200 orang di setiap sekolah yang terlibat dan jumlah penyertaan keseluruhan seramai 17,200 orang murid yang akan menyertai program ini.

Pelaksanaan program itu bertujuan untuk memberi kefahaman dan gambaran yang lebih jelas kepada para pelajar mengenai Program MFLS.

Ia juga sebagai pengenalan kepada para peserta untuk menghayati lima elemen yang akan dipelajari dalam Program MFLS iaitu kepimpinan, kenegaraan, pembentukan watak dan jati diri, kesukarelawanan dan keusahawanan.

Pada masa sama, perkongsian pengalaman alumni MFLS yang telah berjaya mengharungi program ini terutamanya mereka terpilih ke peringkat menyertai ‘MFLS Go Global’ (elemen pengantarabangsaan).

Di Labuan, seramai 1,000 pelajar telah menghadiri Program MFLS Tier 1, bermula pada 13 sehingga 17 Februari 2023 (lima Siri Program) bertempat di Sekolah Kebangsaan Pekan 1, Labuan yang melibatkan lima buah sekolah iaitu SM Sains Labuan, SMK Pantai, SMK Mutiara, SM ST Anthony dan SMK Labuan.

Program MFLS Tier 1 diadakan secara bersemuka dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Jabatan Pendidikan Negeri Wilayah Labuan dan Angkatan Belia MFLS (ABM) Kebangsaan dan Negeri.

Turut hadir Penolong Pengarah Kluster Kepimpinan i-LEAD, Mohd Yuhanis Mohamad Yusof; Timbalan Presiden Angkatan Belia MFLS, Ryeann Syah Sophian dan Ketua Penolong Pengarah HEM Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Minggu Amat. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas