Berita

Kaedah serampang dua mata, jangka masa panjang tangani kesesakan ibu kota

MAHADI (tengah) melancarkan Pelan Induk Trafik Kuala Lumpur 2040 (PITKL 2040) yang menjadi panduan pengurusan trafik di ibu negara.
- Diterbit 4 November 2022 3:13 AM MYT

RUNGUTAN orang ramai mengenai tahap kesesakan lalu lintas di ibu kota diambil kira pihak berkuasa yang terlibat. Pastinya pelbagai inisiatif telah dirintis bagi mengatasi masalah itu yang berlanjutan sejak puluhan tahun lalu.

Penggunaan kenderaan persendirian secara optimum disebabkan sistem pengangkutan awam yang belum efektif menjadikan kesesakan tersebut semakin memburuk dari hari ke hari.

Menyedari masalah itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melancarkan Pelan Induk Trafik 2040 (PITKL 2040) yang memberi penekanan kepada pelbagai aspek rangkaian pengangkutan dengan matlamat utama untuk mengurangkan kesesakan jalan raya di ibu negara.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah berkata PITKL 2040 bertujuan untuk mencapai pembahagian mod 70:30 untuk pengangkutan awam dan kenderaan persendirian menjelang tahun 2040.

“Pada masa ini, pembahagian mod untuk pengangkutan awam dan kenderaan persendirian ialah pada kadar 25:75.

“Untuk merealisasikan peralihan itu, tumpuan perancangan mesti dititikberatkan kepada meluaskan rangkaian rel, menambah baik perkhidmatan bas dan perkhidmatan pengantara yang merupakan batu pertama dan terakhir, yang terdiri daripada pejalan kaki, basikal dan mobiliti mikro,” katanya ketika berucap melancarkan PITKL 2040 di DBKL Khamis lalu.

Pelan itu juga mencadangkan untuk meningkatkan kemudahan park-and-ride berhampiran stesen pengangkutan awam.

Mahadi berkata PITKL 2040 turut mengenal pasti 50 jalan yang terputus hubungan dan sembilan jalan yang memerlukan penambahbaikan.

Beliau berkata PITKL 2040 disediakan menggunakan data trafik semasa dan akan datang, penggunaan tanah dan intensiti pembangunan serta jajaran rel, lokasi kemudahan park-and-ride dan kawasan tadahan stesen transit yang telah mengambil kira semua rujukan yang dikumpul daripada Pelan Bandar Raya Kuala Lumpur 2020, Draf Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 dan Laporan Impak Trafik (TIA).

“Pada 2040, jumlah penduduk di Kuala Lumpur (KL) dijangka meningkat kepada kira-kira 2.6 juta penduduk, berbanding 1.9 juta hari ini.

“Jadi, kita boleh bayangkan lebih banyak kenderaan akan melalui jalan utama KL menjelang 2040,” katanya. -WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas