Berita

Tiada lagi kebenaran bina projek lebuh raya baharu – DBKL

LARANGAN pembinaan lebuh raya baharu di Kuala Lumpur bertujuan meminimumkan kemasukan kenderaan persendirian ke ibu kota.
- Diterbit 4 November 2022 3:21 AM MYT

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak membenarkan sebarang pembinaan projek lebuh raya baharu di Kuala Lumpur sehingga tahun 2040.

Larangan itu merupakan salah satu dapatan daripada hasil Pelan Induk Trafik Kuala Lumpur 2040 (PITKL 2040) yang bertujuan untuk menggalak dan meningkatkan penggunaan pengangkutan awam di ibu negara.

Pelan yang dikemukakan DBKL itu sebaliknya akan memberi tumpuan untuk menghubungkan lebuh raya sedia ada serta menaik taraf jalan semasa.

Menurut Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah, terdapat 50 kemungkinan sambungan serta sembilan jalan utama yang perlu dilebarkan.

“Projek-projek ini, jika dilaksanakan akan membantu menyuraikan lalu lintas di Kuala Lumpur dengan lebih baik,” katanya ketika berucap melancarkan PITKL 2040 Khamis lalu.

Hadir sama, Pengarah Eksekutif (Pembangunan Sosioekonomi) DBKL, Datuk Azmi Abd Hamid; Pengarah Jabatan Perancangan Infrastruktur DBKL, Nor Fajariah Sulaiman serta Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, Asissten Komisioner (ACP) Sarifudin Mohd Salleh.

Antara jalan yang akan dinaik taraf ialah Jalan Sentul Pasar, Jalan Dutamas 2, Jalan Segambut Dalam, Jalan Duta Kiara dan Jalan Sri Penchala.

Mengulas lanjut mengenai rasional untuk mengehadkan pembinaan lebuh raya baharu, Datuk Bandar berkata projek sebegitu sering membawa lebih banyak lalu lintas ke bandar.

“Kita tidak boleh terus membina jalan seperti itu, tetapi kita mesti mencari cara yang mampan untuk mengurus dan menampung lalu lintas,” tambahnya.

Mahadi berkata PITKL 2040 akan memberi lebih tumpuan untuk meningkatkan rangkaian pengangkutan awam seperti bas dan kereta api, serta membina lebih banyak kemudahan park-and-ride.

Beliau berkata sesi penglibatan sedang dirancang dengan beberapa agensi kerajaan dan kementerian lain untuk menyelia perkara itu.

“Ini bagi meningkatkan nisbah pengangkutan awam kepada penggunaan kenderaan peribadi daripada 25:75 pada masa ini kepada 50:50 pada 2025.

“Menjelang 2035, kami menyasarkan untuk mencapai nisbah 60:40 dan meningkatkannya kepada 70:30 menjelang 2040,” katanya sambil menambah bahawa ini akan membantu mengurangkan pelepasan karbon.

Berhubung lanjut mengenai pelan induk trafik, Mahadi berkata ia juga terdiri daripada sistem termaju untuk mensimulasikan keadaan trafik di kawasan tertentu.

Ini direka bentuk menggunakan data sedia ada mengenai jenis pengezonan, keamatan pembangunan, kereta api dan sistem transit.

“Sistem ini membolehkan DBKL merancang dengan lebih baik dan mengkaji impak pembangunan akan datang sebelum memberi kelulusan.

“Ia juga membolehkan kami memperhalusi mana-mana cadangan dan menjelaskan keadaan dengan lebih baik kepada penduduk setempat yang prihatin,” tambah Datuk Bandar itu. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas