Berita

Program Latihan Menembak tingkat keyakinan Penguat kuasa Agama

PROGRAM Latihan Menembak ini disertai kira-kira 80 peserta terdiri daripada PPA Jabatan Agama Islam Negeri-negeri seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.
- Diterbit 3 November 2022 1:15 PM MYT

JABATAN Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia Malaysia (PDRM) telah menganjurkan Program Latihan Menembak Pegawai Penguat kuasa Agama (PPA) seluruh Malaysia, hari ini.

Menurut kenyataan JAWI, program tersebut telah disertai kira-kira 80 peserta terdiri daripada PPA Jabatan Agama Islam Negeri-negeri seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.

“Program kali ini adalah kesinambungan daripada Konvensyen Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah yang diadakan pada Oktober lalu.

“Tujuannya adalah untuk meningkatkan prestasi dan keberkesanan tugas secara lebih menyeluruh dan dan bersepadu dalam kalangan PPA ketika melaksanakan operasi agar setanding dengan agensi penguatkuasaan yang lain.

“Selain itu, ia juga adalah sebahagian dari latihan yang ditetapkan kepada PPA khususnya di Wilayah Persekutuan serta beberapa latihan lain seperti pemahaman berkaitan undang-undang, seni mempertahankan diri dan latihan tempur tanpa senjata,” kata kenyataan itu hari ini .

Katanya, menerusi program latihan ini, peserta didedahkan mengenai kaedah pengendalian senjata api yang betul supaya mereka lebih berkeyakinan tinggi semasa menjalankan tugas yang terdedah dengan pelbagai risiko.

Dalam pada itu, program ini telah dirasmikan oleh Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar di Lapang Sasar Markas PGA Briged Tengah, Cheras, Selangor, tengahari tadi.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Deputi Komisioner Polis (DCP) Datuk Yahaya Othman dan Pengarah JAWI, Datuk Mohd Ajib Ismail.– WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas