Berita

Jangkitan Covid-19 catat kematian ke-11

- Diterbit 23 Mac 2020 4:23 AM MYT

KUALA LUMPUR – Malaysia mencatatkan satu lagi kematian membabitkan seorang warga emas malam tadi akibat jangkitan Covid-19 sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan setakat hari ini kepada 11 orang.

“Dukacita dimaklumkan sehingga kini, terdapat satu lagi pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 yang telah dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC).

“Pelaporan terbaharu ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia sebanyak 11 orang setakat ini,” kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah dalam laman Facebooknya pagi ini.

Noor Hisham berkata, kes kematian kesebelas ini (kes ke-1070) merupakan seorang warganegara Malaysia berusia 70 tahun dengan latar belakang penyakit kronik.

“Beliau mempunyai sejarah perjalanan ke Indonesia pada bulan Februari 2020.

“KKM (Kementerian Kesihatan) juga dimaklumkan bahawa beliau merupakan Pengerusi surau kawasan setempat beliau,” katanya.

Tambah beliau, mangsa telah mula menunjukkan gejala seminggu sebelum dimasukkan ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM, Cheras di sini pada 18 Mac lalu.

Katanya, mangsa telah disahkan positif Covid-19 pada 19 Mac lepas dan diberi bantuan pernafasan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Kesihatannya merosot hari demi hari dan telah disahkan meninggal dunia pada 22 Mac 2020 pukul 9.05 malam, jelas Noor Hisham.

“KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga pesakit,” ujarnya.

Sementara itu, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dalam kenyataannya awal pagi ini berkata, Pasukan Khas Pengurusan Jenazah Covid-19 yang turut dianggotai oleh kakitangan jabatan agama itu bersama-sama pihak hospital berkenaan telah menguruskan jenazah sehingga pengebumiannya di Tanah Perkuburan Alam Damai, Cheras.

“Semoga Allah merahmati arwah, menempatkannya bersama para solehin dan seluruh ahli keluarga dikurniakan kesabaran dan ketabahan,” kata kenyataan itu. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas