Berita

Acara besar rancak ekonomi Labuan

- Diterbit 26 April 2024 10:35 AM MYT

PENGUSAHA hotel, pengangkutan awam dan para peniaga menyambut baik penganjuran tiga acara berprestij yang dianjurkan oleh Perbadanan Labuan (PL) dalam usaha memacu ekonomi di pulau ini.

Pengarah Eksekutif Palm Beach Resort dan Tiara Labuan Hotel, Chai Tze Khee berkata pihaknya telah bersedia sepenuhnya untuk menerima kehadiran pengunjung yang dijangka melonjak bermula minggu hadapan susulan penganjuran acara terbesar iaitu LISC 2024 dan Labuan Big Show 2.0.

“Kami jangkakan kunjungan daripada pelancong dari luar akan meningkat, pastinya dengan penganjuran acara seperti ini akan memberikan manfaat kepada kami sebagai pengusaha hotel di Labuan.

“Sudah tentu dapat membantu kami untuk bernafas kembali sekali gus meningkatkan lagi hasil dan pada masa sama kami berharap akan lebih banyak lagi penganjuran seperti ini diadakan untuk menarik lebih ramai lagi pelancong ke Labuan,’’ katanya ketika dihubungi WilayahKu, baru-baru ini.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pemilik Bas Labuan, Asmadi Ahmad berkata persatuannya yang memiliki lebih 100 ahli menyambut baik dengan penganjuran acara tersebut.

Katanya, dengan adanya acara besar itu mampu meningkatkan pendapatan ahlinya yang sebelum ini amat terkesan susulan kekurangan penumpang menggunakan pengangkutan awam khususnya bas.

“Sebagai pengusaha bas di Labuan amat mengalu-alukan dan sedia bekerjasama dengan pihak penganjur untuk bersama-sama menjayakan acara yang bakal dilaksanakan sekaligus ia dapat memberikan kami peluang menjana pendapatan yang lebih pada acara tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, bagi penjaja roti kukus, Norfaizal Osman, menzahirkan keterujaan apabila penganjuran acara terbesar itu kerana ia merupakan lubuk pendapatan dalam memperolehi pendapatan tambahan.

Beliau yang menjalankan perniagaan di Kampung Enoe, berhampiran Rancha-Rancha berkata selain meningkatkan hasil pendapatannya, penganjuran itu dilihat sebagai satu platfom kepada dirinya untuk mengetengahkan produk jualannya kepada pengunjung luar.

“Selama berniaga di sini, saya mengakui agak aktif berniaga di tapak-tapak acara yang ditawarkan oleh penganjur. Alhamdulillah, hasil pendapatan berniaga agak memberangsangkan berbanding berniaga di satu tempat sahaja sebelum ini.

“Sebagai peniaga kecil, sudah pasti saya berharap agar penganjuran acara seperti Labuan Big Show ini dapat dianjurkan setiap tahun kerana acara ini bakal menarik lebih ramai lagi pengunjung luar untuk datang ke sini dan sudah tentunya kesannya memberikan suntikan ekonomi masyarakat di sini,” katanya.

Untuk rekod, tiga acara yang bakal berlangsung adalah Labuan International Sea Challenge (LISC) (23- 28 April), Labuan Big Show (3-5 Mei) dan Bornea Art Festival yang dijangka diadakan pada September ini. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas