Berita

Pengeluaran akaun 2 KWSP bermula April – Muhyiddin

Pengeluaran wang simpanan Akaun 2 tertakluk kepada kadar maksimum RM500 sebulan untuk tempoh selama satu tahun dengan jumlah pengeluaran dianggarkan bernilai RM40 billion
MUHYIDDIN semasa sidang akhbar khas hari ini.
- Diterbit 23 Mac 2020 6:43 AM MYT

PUTRAJAYA – Pengeluaran i-Lestari bagi pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berjumlah RM40 billion bagi pencarum berumur bawah 55 tahun bermula 1 April ini antara inisiatif yang diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) hari ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, menerusi inisiatif itu, kira-kira 12 juta ahli KWSP yang mendapat manfaat tersebut boleh membuat pengeluaran wang simpanan dalam Akaun 2 masing-masing tertakluk kepada kadar maksimum RM500 sebulan untuk tempoh selama satu tahun dengan jumlah pengeluaran yang dianggarkan bernilai RM40 billion.

“Saya berharap inisiatif tersebut dan juga pengurangan kadar caruman KWSP pekerja sebanyak empat peratus yang berkuat kuasa April ini akan membolehkan pekerja mempunyai lebih wang dalam poket masing-masing untuk membeli barang-barang keperluan harian.

“Gunalah wang ini sebaik mungkin. Beli barang yang perlu sahaja, mungkin sebahagiannya digunakan untuk menampung bayaran bil air, elektrik atau sewa rumah.

“Walaupun jumlahnya tidak seberapa, tetapi inilah wang hasil titik peluh anda sendiri yang sepatutnya digunakan untuk hari tua, tetapi kerajaan benarkan wang ini digunakan sekarang memandangkan ada yang memerlukan,” katanya dalam sidang akhbar khas hari ini. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas