Berita

CAAM sahkan pesawat ringan buat pendaratan cemas

- Diterbit 26 April 2024 2:54 PM MYT

PIHAK Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan sebuah pesawat ringan jenis Diamond DA-42 melakukan pendaratan kecemasan di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) Subang, Selangor, hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif CAAM, Datuk Kapten Norazman Mahmud berkata pesawat tersebut berlepas pada pukul 8.26 pagi dari LTSAAS dan pihak Menara Kawalan Trafik Udara Subang menerima panggilan kecemasan sejurus selepas pesawat berlepas.

“Pesawat kemudiannya membuat pendaratan kecemasan pada pukul 8.28 pagi manakala dua juruterbang di dalam pesawat tersebut dilaporkan selamat.

“Landasan lapangan terbang berkenaan ditutup sementara dari operasi penerbangan sehingga pesawat tersebut dialihkan dari landasan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Norazman, siasatan lanjut akan dilaksanakan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan mengikut Bahagian XXVI Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas