Berita

Bukit Tanjung Kubong perlu dimajukan

PUNCAK bukit yang menghadap lautan merupakan lokasi yang menarik untuk dijadikan kawasan pelancongan baharu
- Diterbit 22 April 2024 1:57 PM MYT

JAWATANKUASA Pembangunan Dan Keselamatan Kampung (JPKK) Lubuk Temiang mencadangkan supaya kawasan Bukit Tanjung Kubong seluas 3.4 ekar yang terletak berhampiran Muzium Chimney dimajukan sebagai pusat pelancongan baharu seka

Pengerusi JPKK Kampung Lubuk Temiang, Mohd Alif Akhbar berkata, cadangan itu disuarakan selepas melihat potensi kawasan berkenaan yang mempunyai keindahan landskap alam semula jadi dan kaya dengan pelbagai sejarah zaman pemerintahan British.

Katanya, kawasan Bukit Tanjung Kubong memiliki daya tarikan tersendiri dan terdapat beberapa peninggalan seperti gedung ubat Perang Dunia ke 2 dan Geotapak Chimney Trail Tanjung Kubong yang menjadi lokasi penggemar aktiviti mendaki (hiking).

“Cadangan ini telah kami bawa kepada Perbadanan Labuan untuk dikemuka kepada perhatian Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dan telah maklum balas yang amat baik.

“Kawasan ini harus dimajukan agar khazanah semula jadi yang ada dapat dimanfaatkan khususnya untuk memperbanyakkan lokasi dan produk pelancongan seperti yang dinyatakan Menteri Wilayah Persekutuan yang mahu industri pelancongan di pulau ini dipertingkatkan,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Beliau yang juga merupakan Ketua Kampung Lubuk Temiang memaklumkan cadangan itu disuarakan ekoran daya tarikan kampung itu yang suram berbanding kampung lain.

“Buat masa sekarang, tempat ini hanya dikunjungi pelancong dari luar dan bilangannya agak sedikit kerana mereka melawat Muzium Chimney sahaja dan kami sedang usahakan supaya tempat ini dapat dihidupkan dan menjadi sebagai satu pusat pelancongan yang terkenal,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Kanan Tourism Malaysia Labuan, Sharon Kenny berkata pihaknya menyambut baik dengan cadangan itu namun ia perlu mendapatkan komitmen yang sepenuhnya daripada pelbagai pihak.

“Bagi saya cadangan ini bagus untuk memajukan tempat itu dan kawasan ini telah pun menjadi tumpuan masyarakat di sini untuk melakukan pelbagai aktiviti seperti mendaki.

“Jika cadangan ini berjaya diangkat dan terlaksana, semua pihak yang terlibat perlu memberikan komitmen agar ia berjaya dan kita tidak mahu sebarang pembangunan infrastruktur menjadi gajah putih sekaligus mencacatkan pemandangan,” katanya.

Penggemar aktiviti hiking, Lo Pei Ling, 45, menyifatkan laluan sepanjang Bukit Tanjung Kubung mencabar dan menjanjikan keindahan alam flora dan fauna selain menarik pencinta alam semula jadi.

“Sepanjang perjalanan menuju ke puncak ia menyajikan pemandangan yang indah dengan kehidupan semula jadi dan kita akan dapat menyaksikan pemandangan matahari terbenam.

“Saya amat bersetuju kerana jika ia nya telah diwartakan sudah pasti pelbagai kemudahan fasiliti awam akan dibangunkan dan perkara itu amat baik kepada semua,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas