Fokus

Henti diskriminasi golongan bujang

Gambar hiasan
- Diterbit 26 April 2024 9:30 AM MYT

Oleh HAZIRAH HALIM & DIANA AMIR

SETIAP manusia yang hidup di muka bumi ini sudah pasti ingin memiliki pasangan untuk berkongsi rasa dan mempunyai bahu untuk bersandar ketika lelah mengharungi kisah suka duka kehidupan.

Firman Allah SWT bermaksud Maha Suci Tuhan yang telah menciptakan pasangan semuanya baik daripada apa yang ditumbuhkan oleh bumi dan daripada diri mereka mahupun daripada apa-apa yang mereka tidak ketahui. (Surah Yasin, ayat 36).

Jelas di sini Allah menjadikan setiap sesuatu yang ada di muka bumi ini berpasang-pasangan agar saling melengkapi di antara satu sama lain. Namun tidak semua insan beruntung memiliki teman sehidup semati.

Kadangkala banyak faktor yang menghalang sehingga golongan ini lebih memilih untuk hidup bujang hingga ke akhir hayat. Namun, mereka ini bakal berdepan dengan persepsi negatif masyarakat.

Empat dekad lalu, perempuan yang berusia 25 tahun ke atas dan masih belum berkahwin mungkin akan dipandang pelik oleh masyarakat namun seiring masa berlalu ia bukan lagi hal yang terlalu diperkatakan umum.

Di Malaysia terdapat 44.68 peratus individu bujang dan negara ini berada di tempat ketiga dalam kalangan negara Asia Tenggara yang mempunyai paling ramai individu yang masih belum berkahwin.

Angka yang dikeluarkan oleh SEA Asia Stats itu menunjukkan hampir separuh penduduk negara ini adalah bujang yang dikenal pasti sebagai belum berkahwin, bercerai atau balu sekali gus meletakkan Malaysia di belakang Filipina dan Brunei.

Ia berdasarkan sumber daripada Divisyen Populasi Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) Statistik Populasi & Bujang berdasarkan data pada 2021.

Dari 1970 hingga 2021, PBB mengumpulkan data perkahwinan mengenai lebih 1.6 bilion individu bujang di seluruh dunia.

Kajian itu berpendapat wujud banyak sebab menyumbang kepada pilihan golongan ini untuk terus membujang antaranya berpunca daripada kekangan ekonomi dan keperluan sosial.

Berkongsi pandangan sama, pensyarah di Jabatan Antropologi & Sosiologi di Fakulti Sastera & Sains Sosial Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Rosila Bee Mohd Hussain berkata kewangan antara faktor utama ramai individu memilih untuk membujang.

“Seperti kita ketahui ekonomi sekarang dengan serba serbinya naik harga ia menjadi beban terutama kepada golongan lelaki kerana mereka ini yang perlu menyara keluarga.

“Antara faktor lain mungkin disebabkan komitmen terhadap keluarga, karier, trauma masa lalu dan banyak lagi faktor lain yang menyumbang,” ujarnya.

Mengikuti arus pemodenan, Rosila berkata masyarakat kini lebih terbuka dan tidak memandang golongan bujang ini sebagai isu sensitif.

“Kalau 40 tahun yang dahulu, perempuan yang mencecah usia pertengahan 20-an dan belum mendirikan rumah tangga dipandang serong masyarakat sehingga wujudnya gelaran andartu namun dengan pendedahan, pendidikan, teknologi dan sebagainya kini mereka yang seusia tersebut dianggap masih muda.

“Ia satu perubahan yang memakan masa bertahun lamanya walau bagaimanapun masyarakat kini dianggap terbuka tetapi dengan keterbatasan agama dan sebagainya,” ujarnya.

Rosila berkata rata-rata golongan bujang ini lebih bebas kerana mereka tidak dikongkong dan boleh membuat keputusan sendiri.

“Sebenarnya mereka yang solo ini  tidak begitu terbeban dengan masalah seperti mereka yang sudah berkahwin mungkin apabila diajukan soalan bila mahu berkahwin membuatkan mereka sedikit tertekan,” katanya.

NIKMATI KEBEBASAN

TIDAK dinafikan terdapat diskriminasi terhadap golongan bujang dalam sektor pekerjaan terutama di peringkat profesional.

“Kebiasaan yang kita dengar adalah golongan bujang ini akan dikerah untuk melakukan kerja lebih masa atau tidak dibenarkan cuti dengan alasan mereka tidak mempunyai sebarang komitmen.

“Orang bujang juga mempunyai kehidupan mereka sendiri. Apabila sentiasa dikerah untuk bekerja lebih masa sedangkan mereka yang berkeluarga boleh bercuti ia akan memberi tekanan dan kesan yang buruk buat emosi dan mental individu tersebut,” jelasnya.

Tambahnya, terdapat juga situasi di mana golongan bujang akan dikenakan sewa rumah yang lebih mahal berbanding yang berkeluarga.

“Justeru itu, pendidikan dan juga pendedahan amat penting kepada golongan yang melakukan diskriminasi ini. Seperti yang saya cakap perubahan yang berlaku memakan masa bertahun sebab itu kita perlu atasinya mulai sekarang,” katanya.

Dalam pada itu, Rosila mengingatkan untuk mereka yang masih bergelar bujang perlu menggunakan kebebasan yang dimiliki sebaiknya.

“Memandangkan mereka ini tidak mempunyai komitmen terhadap institusi kekeluargaan, banyak perkara yang boleh mereka lakukan seperti menjelajah ke negara orang, mencuba sesuatu yang baru dan banyak lagi.

“Manfaatkan juga penggunaan media sosial sebaiknya kerana ia juga antara platform buat golongan single ini mengenali rakan baru dan sebagainya.

“Akhir sekali, tak dinafikan golongan bujang mempunyai banyak tekanan terutama dari orang sekeliling, jadi saya nasihatkan untuk mereka ini dapatkan bantuan. Jangan malu dan jangan pendam seorang diri,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas