Berita

PBAKL 2024 sasar 1.5 juta pengunjung

- Diterbit 30 April 2024 4:04 AM MYT

PESTA Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2024 bakal kembali dengan dengan menyasarkan seramai 1.5 juta pengunjung sepanjang 10 hari pesta tersebut berlangsung.

Pengerusi Pengelola PBAKL, Mohd Khair Ngadiron berkata penganjuran kali ini adalah kali ke-41 dan sejak dimulakan pada tahun 1981, pesta buku ini telah memberi kesan yang besar kepada komuniti pembaca dan industri buku tempatan dan telah merekodkan lebih daripada 1.5 juta pengunjung secara purata sejak tahun 2008 hingga kini.

“Tahun ini juga merekodkan peningkatan tempahan reruai sebanyak 972 reruai berbanding tahun lalu hanya 814 reruai di mana peningkatan ini adalah bukti bahawa syarikat penerbit dan agensi terbitan kerajaan sedang terus berdaya maju dalam ekonomi perbukuan,” katanya.

Tambahnya, antara keterujaan pada edisi kali ini adalah ASIAN Rights Fair turut diadakan pada tiga hari pertama penganjuran melibatkan 10 negara seperti Singapura, Thailand, Philippine, Indonesia, Vietnam, India, China, Taiwan, Iran termasuk Malaysia.

“Ini juga adalah kali ketiga pesta ini akan diadakan secara dalam talian bagi memberi peluang kepada mereka yang tidak dapat hadir secara bersemuka untuk turut mendapatkan pelbagai genre buku yang dijual sepanjang acara berlangsung,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Azman Adnan berkata Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyokong penganjuran pesta ini sebagai salah satu inisiatif dalam memperkukuhkan budaya membaca dalam kalangan kanak-kanak.

“Sejak tahun 2023 kita telah mengeluarkan surat berkaitan dengan lawatan oleh murid-murid sekolah di mana dengan langkah ini kita mengharapkan lebih ramai pelajar sekolah berkunjung ke PBAKL 2024.

“Pada masa sama saya lihat banyak juga pesta buku di peringkat negeri diadakan di mana rata-rata pengunjung adalah golongan muda sama ada mereka pergi sendiri atau bersama keluarga dan saya lihat ini merupakan langkah yang baik untuk dekatkan golongan cilik ini dengan buku,” kata beliau.

Orang ramai dijemput hadir ke PBAKL 2024 bermula 24 Mei sehingga 2 Jun ini bertempat di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur pada pukul 10 pagi hingga 10 malam di mana pelbagai genre buku ditawarkan di bawah satu bumbung buat seisi keluarga. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas