Fokus

Cintai diri sendiri sebelum menyintai

FAFAU menekankan bahawa membujang ini tidak salah yang penting adalah untuk tidak bersendirian
- Diterbit 26 April 2024 9:35 AM MYT

KADANGKALA kita meletakkan perasaan sayang kepada pasangan melebihi rasa sayang terhadap diri sendiri sehinggakan apa sahaja yang mereka lakukan kita akur biarpun diri sendiri terseksa.

Seharusnya kita sedar daripada terus terleka dibuai perasaan kerana kita perlu menyayangi diri sendiri berbanding orang lain untuk lebih tenang dan fokus mencapai matlamat dalam hidup.

Berkongsi pandangan, penyampai radio popular, Farah Fauzana Mohd Fadzil, 44, atau lebih dikenali sebagai Fafau, dalam apa jua keadaan paling utama adalah mencintai diri sendiri terlebih dahulu.

“Cinta itu sendiri meluas maksudnya sama ada kepada Allah, diri sendiri, pasangan, keluarga, kawan-kawan dan lain-lain. Selama lima tahun saya menjelajah ke negara orang, di situ saya belajar yang kita perlu menyayangi diri sendiri terlebih dahulu sebelum boleh menyayangi orang lain kerana apabila kita sibuk nak mengejar perkara itu, kita sampai terlupa untuk belajar.

“Sebab itu, dalam tempoh lima tahun itu saya seronok buat apa sahaja yang saya suka, pergi ke mana-mana yang saya suka dan saya bebas,” ujarnya.

Namun jika kini dia diberi peluang untuk memilih antara duit dan cinta, dia lebih mahukan cinta.

“Sekarang ini bukan kata saya memilih tapi dari segi kerja saya taknak buat semua kerja yang saya tahu akan diberi duit yang lumayan. Saya pasti sekarang ni kalau saya all out saya tahu akan dapat duit yang banyak tapi semua itu bukanlah keutamaan saya ketika ini,” katanya.

Berkongsi lanjut, Fafau berkata sebelum ini stesen radio Hot FM juga pernah menganjurkan sebuah program yang diberi nama Fafau Single Healing Day.

“Apa yang saya perasan adalah orang bujang ini kekurangan sistem sokongan kerana tiada yang mendengar luahan hati mereka.

“Jadi saya cadangkan untuk wujudkan satu program di mana single people ini berkumpul dan di situ mereka boleh kongsi cerita. Selain jodoh, terdapat pelbagai faktor yang membuatkan golongan ini memilih untuk kekal membujang.

“Pada awalnya kita menerima respons kira-kira 300 hingga 400 orang yang ingin sertai program ini namun kami hanya memilih 30 peserta di mana mereka yang belum pernah berkahwin dan berumur 30 tahun ke atas sahaja,” ujarnya.

Pernah melalui detik sukar namun dia meletakkan sepenuh kepercayaan kepada qada dan qadar kerana yakin jodohnya sudah ditetapkan.

“Saya percaya jodoh Allah itu ada cumanya tidak tahu bila, di mana dan sebagainya. Kehidupan single ini okey sebenarnya tiada masalah yang penting adalah jangan bersendirian,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas