Artikel

GoKL: Warga asing dicaj

- Diterbit 29 Disember 2023 11:40 AM MYT

BERAKHIR sudah! Tiada lagi perjalanan percuma untuk warga asing yang menggunakan perkhidmatan bas GoKL mulai 1 Januari 2024. Sebaliknya mereka akan dikenakan bayaran RM1 bagi setiap perjalanan.

Bagi kawan-kawan Kedai Kopi, langkah ini memang wajar dan baik untuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Dengan mengenakan bayaran, DBKL dijangka mampu memperoleh sumber pendapatan sehingga RM2 juta setahun.

Keistimewaan perjalanan percuma sewajarnya hanya untuk warga negara sahaja. Lagi pun sudah lama warga asing menikmati perjalanan percuma, sejak GoKL diperkenal pada 2012. Sampai masanya mereka dikenakan bayaran dan tidak terus berseronok naik bas percuma.

Menurut maklumat yang kawan-kawan Kedai Kopi terima, sejumlah 46 peratus yang menggunakan khidmat bas GoKL ialah warga asing. Laporan DBKL sebelum ini merekodkan kira-kira 30,000 penumpang menaiki GoKL setiap hari atau lebih kurang 918,000 penumpang setiap bulan.

Menurut Datuk Bandar, Datuk Sr Kamarulzaman Mat Salleh, dengan mengenakan caj ke atas warga asing membolehken DBKL memperoleh hasil yang boleh digunakan semula untuk menampung kos operasi dan penyelenggaraan bas.

Ini secara tidak langsung boleh membantu menampung kenaikan kos dalam bajet 2024. DBKL baru-baru ini mengumumkan Bajet 2024 berjumlah RM2.66 bilion, pertambahan kira-kira RM60 juta berbanding tahun lepas. Perbelanjaan mengurus berjumlah RM2.01 bilion manakala perbelanjaan pembangunan ialah RM650 juta.

Pelaksanaan caj untuk warga asing akan dikenakan secara berperingkat membabitkan empat laluan di sekitar pusat bandar iaitu Laluan 01 (Hijau), Laluan 02 (Ungu), Laluan 03 (Merah) dan Laluan 04 (Biru).

Pembayaran caj adalah tanpa tunai sepenuhnya, sama ada menggunakan kad Touch ‘n Go (TnG), kod QR, kad kredit atau kad debit. Untuk kanak-kanak di bawah 12 tahun ia adalah percuma tanpa mengira warga tempatan atau asing.

Namun kawan-kawan Kedai Kopi ingin ingatkan warga Malaysia yang mahu menikmati perkhidmatan percuma mesti menggunakan MyKad yang mempunyai sistem TnG. Seterusnya mesti membuat pendaftaran MyKad tersebut.

Antara tempat mendaftar ialah Hentian bas KLCC, Hentian Akhir Titiwangsa (Pekeliling) dan Hentian Akhir Pasar Seni. Pendaftaran boleh dibuat dari pukul 7 pagi hingga 12 tengah hari dan 2 petang hingga 7 malam.

Untuk kemudahan penumpang, petugas DBKL juga ditempatkan dalam bas GoKL terpilih. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas