Artikel

Doa dan harapan 2024

- Diterbit 29 Disember 2023 11:50 AM MYT

MENJELANG Isnin 1 Januari 2024 bersamaan 19 Jamadilakhir 1445, fajar Tahun Baharu 2024 bakal menjelma. Selamat datang tahun baharu meninggalkan tahun 2023 dalam lipatan sejarah, menyimpan segala kenangan serta peristiwa pahit manis.

Kawan-kawan Kedai Kopi tidak lupa mengucapkan Selamat Tahun Baharu kepada para pembaca ruangan ini, dan seluruh warga Wilayah Persekutuan (WP) Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan. Harapan dan doa mengiringi semoga WP terus maju jaya, rakyatnya hidup sejahtera.

Sesungguhnya begitulah pusingan waktu ketentuan Allah. Hari, minggu, bulan dan tahun silih berganti. Setahun dirasakan begitu cepat berlalu. Ada yang merasakan belum sempat melaksanakan azam yang disemat awal tahun lalu.

Masa tidak akan menanti kita. Kita yang perlu menyesuaikan diri dengan peredaran masa. Tahun baharu mungkin azam baharu pula dipasang. Haruskah azam tahun lalu dibiarkan berlalu atau disambung ke tahun ini?

Bagi WP, yang ingin kita lihat ialah ia terus meniti kejayaan serta bertambah makmur sementara warganya menjalani kehidupan lebih selesa. Harapan tinggi agar ketiga-tiga WP terus pesat membangun di samping keperluan warganya dipenuhi dan permasalahan dapat diatasi.

Kita mahu Kuala Lumpur terus maju sebagai ibu kota dan pusat eknomi serta kewangan negara agar sama hebat seperti ibu kota lain di dunia. Isu utama yang dihadapi seperti perumahan, kesesakan lalu lintas, banjir dapat diatasi atau dikurangkan.

Harapan sama diletakkan kepada Putrajaya selaku pusat pentadbiran negara dan Labuan sebagai pusat kewangan luar pesisir. Kemajuan WP bermakna kebahagiaan juga untuk seluruh warganya tanpa mengira bangsa, agama dan kaum. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas