Berita

Yang Dipertua Dewan Negara meniggal dunia

- Diterbit 10 Mei 2024 3:05 PM MYT

YANG Dipertua Dewan Negara, Datuk Mutang Tagal telah meninggal dunia pada pukul 11.46 pagi di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur hari ini.

Perkara itu dimaklumkan oleh Pejabat Yang Dipertua Dewan Negara dalam satu kenyataan.

Menurutnya, pemergian beliau meninggalkan seorang isteri dan tiga orang anak.

“Beliau telah menerima rawatan di IJN setibanya di Malaysia pada hari Isnin, 6 Mei lalu daripada Azerbaijan untuk lawatan kerja rasmi.

“Maklumat lanjut berkenaan pengebumian dan majlis penghormatan beliau akan dimaklumkan kemudian.

“Keluarga mendiang mengucapkan ribuan terima kasih atas kiriman takziah serta doa yang diberikan dan menghargai ruang masa yang diberikan kepada mereka di dalam menghadapi masa yang sukar ini,” katanya hari ini.

Datuk Mutang Tagal, 70 tahun telah dipilih menjadi Yang di-Pertua Dewan Negara yang ke-20 dan telah mengangkat sumpah di Dewan Negara pada 19 Februari 2024.

Beliau adalah merupakan Orang Ulu yang pertama dilantik sebagai Yang di-Pertua Dewan Negara dan pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Bukit Mas, Sarawak, berkhidmat pada tahun 1982 hingga 1990. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas