Berita

FAM tingkat kawalan keselamatan

- Diterbit 10 Mei 2024 12:17 PM MYT

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) akan memastikan kawalan keselamatan terhadap barisan pemain kebangsaan dipertingkatkan sepanjang tugasan rasmi bersama skuad Harimau Malaya.

Menurut Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, kawalan keselamatan itu merangkumi ketika kem latihan pusat dan perjalanan sewaktu hari perlawanan di dalam mahupun luar negara.

“Ia sebagai langkah memastikan keselamatan para pemain berada pada tahap optimum berikutan serangan jenayah melibatkan dua pemain kebangsaan iaitu Muhammad Akhyar Abdul Rashid dan Mohamad Faisal Abdul Halim yang berlaku baru-baru ini.

“Kami sudah maklumkan kepada pegawai polis yang bertanggungjawab jaga pasukan semasa tugasan pasukan kebangsaan untuk betul-betul peka dengan pergerakan pemain. Tidak kira di dalam ataupun luar negara, perkara itu mesti jadi keutamaan.

“Perkara sama juga perlu dilakukan semasa kem latihan pusat. Selama ini memang kita ada pegawai polis yang menjaga pasukan tetapi mungkin kita perlukan lebih lagi selepas ini,” ujar beliau.

Mengenai insiden yang melanda dua pemain kebangsaan itu, Hamidin enggan membuat sebarang spekulasi termasuk kemungkinan terdapat unsur penglibatan sindiket mengatur perlawanan.

“Saya tidak pasti adakah ia secara kebetulan ataupun terancang. Perkara ini di luar pengetahuan saya. Saya kesal dengan apa yang berlaku,” kata Hamidin yang juga Ahli Majlis Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Mengulas perkembangan Faisal Halim, beliau berkata pemain Selangor FC itu bakal terlepas baki dua perlawanan Kumpulan D pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Kyrgyzstan dan Taiwan pada awal Jun ini.

“Berdasarkan lawatan dan maklumat yang saya terima, Faisal Halim mungkin memerlukan sekurang-kurangnya dua hingga tiga bulan untuk pulih,” ujarnya.

Pada 5 Mei lalu, arena bola sepak tempatan dikejutkan dengan insiden pemain kebangsaan cedera dipercayai disimbah asid.­ – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas