Artikel

Urus emosi di jalan raya

KESESAKAN yang berulang-ulang setiap hari pagi dan petang menjadikan sesetengah pengguna jalan raya tertekan, kegelisahan dan kebimbangan melampau
- Diterbit 29 Disember 2023 11:20 AM MYT

Oleh KU SEMAN KU HUSSAIN

KARAKTER sesetengah dalam kalangan kita boleh bertukar dengan tiba-tiba, daripada tenang menjadi bengis dan pemarah apabila berada di atas jalan raya. Perkara yang kecil sekalipun boleh meletuskan reaksi yang tidak sepadan.

Malah ada yang sanggup bergaduh pada hal-hal yang boleh diselesaikan dengan ucap ‘maaf’ sahaja. Bagaimanapun hakikatnya cara mudah tu jarang berlaku. Banyak juga yang memilih rumit dan lagi merumitkan.

Itu bukan masalah yang dibuat-buat, malah banyak yang tidak perasan boleh menjadi seperti itu. Hal yang kecil seperti berebut lorong, pintas laluan atau tertekan hon misalnya boleh berakhir dengan tragedi. Besar sangatkah perkara-perkara itu – berebut lorong, pintas atau bunyikan hon?

Sememangnya bukan perkara besar. Tetapi disebabkan hilang kewarasan seketika, reaksinya telah membelakangkan susila dan pekerti. Sanggup bertumbuk dan paling tidak boleh diterima menggunakan senjata. Apakah sudah jadi dengan orang kita apabila di atas jalan?

Kalau ada yang potong laluan atau merembat lorong sekalipun, pantasnya tidak seberapa. Tidak sejauh manapun di depan. Yang dipintas pula tidak tertinggal. Dalam keadaan semua kenderaan bergerak macam siput babi, tidak ada siapa yang boleh pantas daripada itu.

Bagi yang waras tentulah berfikir tidak perlu membazirkan begitu banyak tenaga untuk melepaskan kemarahan suatu yang tidak berbaloi. Malah tidak boleh mengubah apa-apa – jalan tetap sesak seperti sediakala. Bagaimanapun yang melakukan itu merasa puas untuk seketika, kemudian diseksa oleh rasa kesal yang panjang.

Memanglah semua orang berebut hendak cepat sampai ke tempat kerja atau balik ke rumah. Di rumah ada tugas lain yang menanti, begitu juga kalau ke pejabat. Tetapi kesesakan menjadi penghalang. Masa-masa beginilah pantang ada percikan, terus terbakar jadinya.

Memang mudah untuk kata ‘bersabarlah.’ Malah kata-kata itu sudah menjadi sangat klise, orang pun jemu mendengarnya. Perkara yang berlaku itu bukanlah sepenuhnya disebabkan kesesakan, tetapi ada hal-hal lain yang bergolak di fikiran.

Sebenarnya, kesesakan sahaja tidaklah terlalu memberi trauma dan tekanan. Misalnya terperangkap dalam kesesakan ketika bercuti dan sebagainya. Sekalipun sesak tetapi pengguna tidak dihimpit oleh garis masa tertentu.

Berbeza ketika pergi atau balik dari kerja, pengguna dihimpit oleh garis masa tertentu. Misalnya mesti berada di pejabat atau di rumah pada waktu sekian dan sekian. Kalau tidak, ada masalah lain yang terpaksa ditanggung.

Kalau tidak sampai ke tempat kerja pada waktu yang ditetapkan, terpaksa pula menjawab kepada ketua. Lebih-lebih lagi dalam kalangan majikan yang menganggap bahawa pekerja yang baik adalah datang tepat pada masanya. Hakikatnya semua itu bukan tanda aras pekerja berkualiti.

Terlalu lama berada di atas jalan mencetuskan tekanan. Pekerja yang tertekan menjejaskan kualiti kerja. Masa yang terbuang di atas jalan sepatutnya dimanfaatkan untuk keluarga atau kerjaya. Hal yang sedemikian menimbulkan rasa tidak tenteram, terutama dalam kalangan ibu dan bapa.

Misalnya yang diambil untuk sampai ke tempat kerja pukul 9 pagi, di banyak tempat di Lembah Klang memerlukan seseorang perlu bangun selewat-lewatnya pukul 6 pagi. Ini termasuk menguruskan penghantaran anak ke tempat jagaan dan masa di atas jalan. Waktu balik pula pukul 6 petang tetapi hanya akan sampai ke rumah paling awal 8.30 malam.

Kesesakan yang berulang-ulang, setiap hari, pagi dan petang menjadikan sesetengah pengguna jalan raya tertekan (stress), kegelisahan dan kebimbangan melampau (anxiety) dengan keadaan itu. Ia sangat mengganggu – tidak kiralah semasa ke tempat kerja atau balik ke rumah.

Malah ada juga dalam kalangan pengguna jalan raya yang sudah sedia ada masalah kesihatan mental seperti yang disebutkan tadi. Keadaan di jalan raya menambahkan tekanan dan ketidaktentuan kepada golongan berkenaan.

Menurut statistik, pada setiap hari bekerja ada lebih kurang enam juta kenderaan bergerak di sekitar Kuala Lumpur terutama di pusat bandar raya. Statistik ini dicatatkan pada waktu puncak, pagi dan petang.

Jumlah itu adalah 85 peratus daripada keseluruhan kenderaan di bandar raya ini.

Hal itu menunjukkan sekitar 15 peratus daripada pemilik kenderaan di Kuala Lumpur memilih menggunakan pengangkutan awam. Disebabkan liputan jaringan pengangkutan awam belum menyeluruh, banyak yang terpaksa memandu ke tempat kerja.

Peningkatan jumlah kenderaan seperti di Kuala Lumpur boleh dilihat daripada dua sudut. Pertama, menunjukkan sektor ekonomi berkembang dengan pesat yang memungkinkan kemampuan memiliki kenderaan menjadi tinggi.

Sementara sudut kedua, kesesakan disebabkan oleh sistem pengangkutan awam yang belum menyeluruh dan kekerapan laluan pada relatifnya masih rendah. Malah ada juga pengangkutan awam yang tidak menepati jadual sekali gus menyukarkan pengguna merancang perjalanan dengan tepat.

Maka warga kota terpaksa memandu ke tempat kerja sekalipun perlu berbelanja lebih untuk bahan api, tol dan bayaran tempat letak kereta. Sudahlah terpaksa berbelanja lebih, terpaksa pula meredah kesesakan yang teruk dan memenatkan.

Kita tidak boleh menafikan bahawa golongan berpendapatan rendah yang menghuni kota besar seperti Kuala Lumpur berdepan cabaran yang berganda. Dengan kadar upah atau gaji yang pada relatifnya masih kecil, itulah sahaja sumber untuk menanggung semua kenaikan belanja sara hidup.

Dalam keadaan yang seperti itu termasuklah yang memiliki masalah kesihatan mental, sedikit sahaja yang berlaku di jalan raya terus meluap-luap amarahnya. Bukan sangat kerana kesesakan, tetapi disebabkan masalah-masalah lain yang membelit warga kota.

Keadaan itu menjadikan sesetengah pengguna jalan hilang kewarasan dan meluahkan ‘kemarahan dan kekecewaan’ terhadap kehidupan. Selepas sesuatu kejadian yang tidak diingini berlaku, pelaku itu pun baru sedar yang marahnya begitu menggila.

Pada keadaan seperti itulah sesetengah orang menjadi begitu individualistik. Tidak menghiraukan kesan atau kepentingan orang lain asalkan ada dapat melempiaskan kemarahan. Bayangkan apabila kemarahan disambut dengan kemarahan, berlakulah seperti yang banyak dilaporkan di media.

Harapnya catatan yang pendek ini mampu membuka pemikiran sesetengah dalam kalangan kita untuk memahami golongan seperti itu. Misalnya golongan yang berdepan kesihatan mental yang tidak begitu baik ketika di jalan raya.

Kepada yang faham akan kewujudan masalah itu, perlulah mengambil pendekatan yang lebih tenang dan beralah. Latihkan diri untuk terus tenang berdepan provokasi. Lagipun jalan raya bukanlah tempat untuk menegakkan siapa benar dan salah.

Provokasi akan menjadi basi kalau tidak disambut. Setidak-tidaknya kita berusaha mengurangkan tragedi akibat kemarahan yang gagal diuruskan dengan baik.

Penulis adalah wartawan bebas

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas