Berita

DBKL lancar buku transformasi Pasar Borong Kuala Lumpur

DATUK Seri Mahadi Che Ngah (tengah) melancarkan Buku Transformasi Pasar Borong Kuala Lumpur- Menjana Ekonomi Norma Baharu di Menara 1 DBKL, petang tadi.
- Diterbit 21 Jun 2022 9:15 AM MYT

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini melancarkan sebuah buku, ‘Transformasi Pasar Borong Kuala Lumpur- Menjana Ekonomi Norma Baharu’ yang mendokumentasikan pengalaman dan pelaksanaan norma baharu sepanjang pengoperasian Pasar Borong Kuala Lumpur (PBKL) ketika pandemik COVID-19 dua tahun lalu.

Buku yang dihasilkan ini bagi memastikan peraturan terutama Akta Kerja 1955 dan Undang-Undang Kecil Pasar Borong (WPKL) 2022 dipatuhi oleh pemborong, pembekal dan pekerja untuk mewujudkan persekitaran yang lebih kondusif yang turut melibatkan pelbagai agensi kerajaan bagi memastikan pematuhan kepada undang-undang dan peraturan kerajaan.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah berkata, pelaksanaan norma baharu ketika itu telah mencetuskan idea untuk menubuhkan ‘Task Force Menjana Ekonomi Norma Baharu Pasar Borong Kuala Lumpur’ yang memberi fokus kepada aktiviti pemutihan pekerja warga asing selain mengambil tindakan terhadap isu pemerdagangan manusia dan penggubahan wang haram.

“Task Force ini berjaya mendidik pemborong untuk mematuhi syarat lesen dan menjalankan tanggungjawab sebaiknya sebagai seorang majikan.

“Ia juga secara tidak langsung membuka peluang dan ruang pekerjaan khususnya kepada warga Kuala Lumpur yang terkesan dan kehilangan sumber pendapatan susulan pandemik COVID-19,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Pelancaran Buku Transformasi Pasar Borong Kuala Lumpur – Menjana Ekonomi Norma Baharu di Menara 1 DBKL di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Eksekutif Pembangunan Sosio-Ekonomi, Datuk Anwar Mohd Zain, Pengarah Eksekutif Perancangan, Datuk TPr Sulaiman Mohammed, Pengarah Eksekutif Pengurusan Projek, Datuk Azmi Abdul Hamid dan Pengarah Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Perniagaan, Khairul Anuar Mhd Juri

Mengulas lanjut, Mahadi berkata, di antara kejayaan lain yang telah diperoleh melalui penubuhan task force tersebut adalah mengurangkan kadar jenayah seperti vandalisme dan rompakan serta berjaya menambah baik keceriaan persekitaran PBKL dengan lukisan grafiti oleh sekumpulan pelukis mural dan grafiti.

“DBKL juga telah menambah baik pengurusan dan meningkatkan infrastruktur seperti pemakaian pakaian seragam, pas pengenalan pekerja dan oemborong serta pemasangan kamera litar tertutup (CCTV),” katanya.

Beliau turut berharap melalui penerbitan buku itu akan menjadi rujukan pelbagai pihak yang ingin mendapat maklumat dan panduan berhubung pengurusan pasar borong. –WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas