Berita

KWP mahu tambah 5,000 Council Home

SHAHIDAN melakukan gimik pecah tanah pembinaan Council Home Kuarters DBKL di Sentul hari ini.
- Diterbit 21 Jun 2022 12:29 PM MYT

KEMENTERIAN Wilayah Persekutuan (KWP) merancang untuk membina tambahan 5,000 unit Council Home sebagai salah satu inisiatif menangani masalah perumahan warga kota khususnya yang berpendapatan rendah.

Menterinya, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata sasaran itu ditetapkan pihaknya untuk membina 5,000 Council Home dalam tempoh lima tahun yang tidak mencukupi dalam manangani masalah perumahan untuk warga kota yang bertambah setiap tahun.

“Kementerian Perumahan Kerajaan dan Tempatan (KPKT) juga akan membina perumahan rakyat, tapi itu peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan, tetapi pembinaan Council Home ini daripada peruntukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan ia akan menjadi harta DBKL kelak,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Council Home Kuarters DBKL di Sentul hari ini.

Hadir sama Ketua Setiausaha KWP, Datuk Seri Rosida Jaafar dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah.

Jelas Shahidan, Council Home adalah berbeza berbanding Perumahan Awam (PA) dan Projek Perumahan Rakyat (PPR).

“Walaupun ukuran saiz rumah tersebut 750 hingga 850 kaki persegi dan disertakan tiga bilik tidur serta dua bilik air, rumah tersebut akan disewakan lebih rendah berbanding dengan harga pasaran,” katanya.

Shahidan berkata, DBKL telah mengenal pasti lokasi sesuai untuk membina Council Home di sekitar ibu kota seperti di Jalan Sungai Udang, Segambut; Jalan Siakap (Cheras); Taman Desa (Seputeh); Bandar Sri Permaisuri; Sungai Besi dan Seksyen 79, 1/48A, Bandar Baru Sentul.

“Lot 20010, Seksyen 79 ini asalnya merupakan tapak bagi Kuarters Kakitangan DBKL kemudian tapak ini dicadangkan sebagai Council Home bagi menggantikan bangunan kuarters asal yang sudah usang dan tidak sesuai untuk didiami.

“Pembinaan kuarters baharu itu melibatkan sejumlah 168 unit kediaman akan disewakan kepada kakitangan DBKL dan tapak tersebut sudah pun diserahkan kepada Tetuan Mercu Binaraya Sdn Bhd pada 4 April lalu,” katanya.

Tambahnya, pembinaan bangunan Council Home setinggi 20 tingkat itu dijangka dijangka siap pada 31 Mac 2024. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas