Berita

Kenderaan berat dilarang masuk KL berkuat kuasa serta merta

KENDERAAN berat yang melebihi 7.5 tan dilarang memasuki ibu kota.
- Diterbit 21 Jun 2022 6:25 AM MYT

LARANGAN kenderaan berat melebihi 7.5 tan memasuki ibu kota pada waktu puncak berkuat kuasa serta merta merupakan antara tindakan yang diambil bagi menangani masalah kesesakan trafik.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, operasi tersebut akan dimulakan serta merta melibatkan anggota polis, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Sekitar 72 lokasi akan dikawal oleh polis dan 13 lagi oleh pegawai DBKL.

“Pihak DBKL juga sudah dan akan meletak papantanda larangan kenderaan berat di
sempadan pada waktu puncak di beberapa lokasi strategik yang dikenalpasti iaitu sesi pagi bermula 6.30 pagi hingga 9.30 pagi dan sesi petang bermula 4.30 petang hingga 7.30 petang,” katanya dalam sidang media khas di Menara DBKL di sini hari ini.

Jalaluddin berkata, pihaknya turut tidak membenarkan sebarang kerja-kerja penyelenggaraan jalan raya di lakukan pada waktu yang sama kecuali melibatkan kerja-kerja kecemasa.

“Sebagai langkah jangka sederhana untuk memperbaiki keadaan lalu lintas, DBKL tidak akan membenarkan sebarang jenis halangan di bahu jalan.

“Semua tempat letak kereta di tepi jalan dan lot perdagangan yang dimaksudkan untuk peniaga kecil di bandar ini akan dialihkan secara berperingkat.

“Semua papan tanda berkaitan trafik akan dikemas kini, dan penguatkuasaan lebih kuat akan dilakukan ke atas kotak kuning di persimpangan,” katanya. –WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas