Berita

Adira, Datuk Red sah cerai talak satu

- Diterbit 24 April 2024 3:24 PM MYT

KEMELUT rumah tangga yang melanda penyanyi Adira Suhaimi dan suaminya Datuk Red berakhir apabila mereka sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah, Gombak Barat, Kuang, Selangor, hari ini.

Datuk Red atau nama sebenarnya Datuk Seri Adnan Abu,43, melafazkan cerai talak satu terhadap Adira,33, di hadapan Hakim Syarie Abdul Hadi Umar, selepas.mahkamah membenarkan permohonan cerai difailkan penyanyi itu mengikut seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

Hakim Syarie turut memerintahkan Adira menjalani tempoh edah selama tiga kali suci selain mendaftarkan perceraian mereka.

Hari ini ditetapkan untuk lantikan hakam namun pasangan itu bersetuju untuk bercerai secara baik berdasarkan terma-terma persetujuan yang kemudian direkodkam Mahkamah.

Pada providing hari ini, Adira atau nama sebenarnya Siti Adira Suhaimi diwakili Peguam Syarie Nor Saidaj Zakaria manakala Datuk Red diwakili peguam syarie Muhammad Akmal Amzan.

Adira memfailkan perceraian buat kali kedua pada 25 Oktober tahun lalu selepas mendakwa tidak lagi wujud persefahaman dalam perkahwinan mereka.

Sebelum ini pelantun lagu Pujaan Hati ini pernah memfailkan perceraian buat kali pertama di mahkamah yang sama pada 1 April 2019.

Bagaimanapun penyanyi yang berasal dari Sabah itu menarik semula permohonan itu bagi memberi peluang kedua kepada suami selain cuba berbaik demi anak-anak.

Adira dan Datuk Red berkahwin di Songkla, Thailand pada 3 Disember 2015 sebagai isteri kedua dan dikurniakan empat orang anak yang berusia antara dua hingga tujuh tahun. – BERNAMA

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas