Berita

DBKL akan semak kesesuaian penganjuran konsert

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mempertimbangkan kesesuaian penganjuran sebarang konsert yang akan diadakan di bandar raya ini.
- Diterbit 6 September 2022 4:35 AM MYT

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mempertimbangkan kesesuaian penganjuran sebarang konsert yang akan diadakan di bandar raya ini berikutan bantahan terhadap acara seumpama itu baru-baru ini.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata langkah tersebut bagi memastikan tiada penganjuran konsert yang dianggap menyinggung perasaan atau tidak sesuai dianjurkan pada masa akan datang.

“Kita tidak seharusnya terpengaruh dengan bentuk hiburan yang melampau.

“Walaupun banyak konsert di Kuala Lumpur telah diluluskan oleh jawatankuasa penapisan, DBKL akan terus mengkaji kesesuaian acara ini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Hari Belia Negara di Taman Tasik Titiwangsa di sini hari ini.

Katanya, pihak turut mendapat aduan bahawa acara seperti itu tidak menggalakkan pembangunan sosial.

“Hiburan seharusnya memberi kesan positif kepada penonton,” ujarnya.

Tambahnya, beliau masih belum menerima sebarang maklumat berhubung tuntutan Pemuda PAS untuk membatalkan konsert artis antarabangsa namun pada masa sama beliau terbuka untuk membincangkan perkara itu dengan mana-mana pihak bagi memastikan kesejahteraan rakyat terpelihara.

Terdahulu penganjuran konsert penyanyi Amerika Billie Eilish mendapat bantahan Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari dan menggesa kerajaan membatalkan konsert berjadual yang menampilkan artis antarabangsa.

Beliau turut memberi amaran bahawa protes akan berlaku di seluruh negara jika konsert yang dijadualkan itu diteruskan. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas