Atlet Wilayah

Wilayah Persekutuan sasar 70 emas di SUKMA 2022

SHAHIDAN (kanan) ketika Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Wilayah Persekutuan Ke SUKMA XX MSN 2022.
- Diterbit 6 September 2022 10:44 AM MYT

KONTINJEN Wilayah Persekutuan (WP) meletakkan sasaran 70 pingat emas selain muncul sebagai juara pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) edisi ke-20 yang dijadual berlangsung di ibu negara bermula 16 September ini.

Menurut Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, sasaran itu cuba dicapai menerusi penyertaan dalam 33 acara yang cabarannya akan digalas oleh 603 atlet.

“Kali ini, sebanyak 70 emas yang kita sasar membabitkan 33 acara. WiPers menghantar antara kontinjen terbesar pada temasya kali ini dengan penyertaan keseluruhan 766 atlet dan pegawai (603 atlet) pada SUKMA XX MSN 2022 dan akan menyertai kesemua acara termasuk dua sukan demonstrasi.

“Kali terakhir kontinjen Wilayah Persekutuan muncul juara adalah pada SUKMA 2014 di Perlis. Kali ini saya merasakan aura dari Perlis itu bakal kembali semula dengan kejuaraan pasti dijulang Wilayah Persekutuan pada tahun ini.

“Sasaran in adalah berdasarkan perkiraan prestasi semasa atlet-atlet Wilayah Persekutuan pada ketika ini. Justeru, saya menuntut komitmen dan usaha bersungguh-sungguh daripada setiap atlet untuk memastikan sasaran in tercapai bagi membolehkan kontinjen muncul juara,“ katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Wilayah Persekutuan Ke SUKMA XX MSN 2022.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan yang juga Ketua Kontinjen WiPers, Datuk Seri Rosida Jaafar.

Tambahnya, sebagai pembakar semangat, insentif atau ganjaran yang bakal diperoleh atlet WP pada SUKMA bagi pingat emas adalah ganjaran wang tunai sebanyak RM5,000 bagi acara individu manakala acara berpasukan (RM3,000 hingga RM4,000).

“Manakala untuk atlet yang berjaya mengutip pingat perak pula adalah ganjaran wang tunai sebanyak RM2,000 bagi acara individu manakala acara berpasukan (RM1,000 hingga RM1,500). Bagi pemenang gangsa pula sebanyak RM1,000 bagi acara individu dan berpasukan pula RM500 sehingga RM700,” jelasnya.

Sementara itu, akhbar Wilayahku dan stesen radio KLfm diumumkan sebagai media rasmi untuk kontinjen Wilayah Persekutuan dalam menyalurkan sebarang maklumat terkini tentang prestasi dan kejayaan sepanjang temasya berlangsung.

Terdahulu, kontinjen WiPers menduduki kedudukan naib juara pada SUKMA 2018 di Perak dengan pungutan 52 pingat emas, 38 perak dan 50 gangsa serta mencipta satu rekod baharu kebangsaan serta tujuh rekod baharu SUKMA. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas