Berita

Empat keluarga hilang tempat tinggal sekelip mata

PASUKAN bomba berjaya mengawal api dari merebak pada pukul 4.12 petang.
- Diterbit 6 September 2022 4:31 AM MYT

EMPAT sekeluarga tinggal sehelai sepinggang apabila dua buah rumah didiami mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Rancha-Rancha Laut di sini, pada petang Isnin.

Dalam kejadian pada pukul 3 petang itu, tiada kecederaan dilaporkan apabila semua penghuni rumah terbabit sempat menyelamatkan diri.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Labuan berkata sebaik menerima panggilan kecemasan pukul 3.38 petang, dua jentera dan satu kenderaan utiliti dari tiga buah Balai Bomba dan Penyelamat dengan kekuatan 27 anggota bergegas ke tempat kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi yang terletak kira-kira 5 kilometer itu, pasukan bomba mendapati satu kebakaran membabitkan dua buah rumah jenis tidak kekal.

“Pasukan bomba bertungkus-lumus memadam api menggunakan dua aliran empat pancutan dan pemadaman menggunakan teknik defensif berjaya mengawal api dari merebak pada pukul 4.12 petang,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Difahamkan, harta benda dan sebahagian dokumen penting milik penghuni tidak sempat diselamatkan dan punca kejadian serta anggaran kerugian masih dalam siasatan. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas