Berita

Dakwaan dipecat dari UMNO Bahagian, Tun Faisal akui tidak terkejut  

- Diterbit 17 April 2022 12:10 PM MYT

BEKAS Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, mengakui tidak terkejut dengan khabar angin bahawa akan diusulkan untuknya dipecat oleh bahagian berkenaan.

Datuk Tun Faisal Ismail Aziz menjelaskan, perkara tersebut diketahuinya semalam melalui rakan-rakan selain turut dilaporkan oleh sebuah portal berita.

“Saya tidak terkejut berita mengenai cadangan agar saya dipecat daripada parti oleh UMNO Bahagian Putrajaya kerana sudah pun sangat mengenali sikap Ku Nan (Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor).

“Lagipun dahulu dia juga individu aturkan supaya aduan dibuat ke atas saya,” katanya menjawab pertanyaaan media berhubung kesahihan berita mengenai pemecatannya.

Sebuah portal berita melaporkan bahawa keputusan untuk mengeluarkan surat yang mencadangkan pemecatan Tun Faisal itu dikatakan dibuat selepas suatu mesyuarat UMNO Bahagian Putrajaya yang diadakan semalam.

Sebelum ini, Setiausaha Akhbar kepada Tan Sri Annuar Musa itu telah kemukakan rayuan terhadap keputusan menggantung keahliannya selama enam tahun oleh parti.

Dalam pada itu, Tun Faisal juga persoalkan kewajaran keputusan diambil ke atasnya, selain hairan dengan kerisauan melampau Ku Nan juga Ketua UMNO Bahagian di situ.

“Saya tidak faham apa yang dia (Ku Nan) takutkan sangat dengan saya. Saya sudah digantung pun.

“Sepatutnya di bulan Ramadan yang mulia ini, hilangkanlah dendam kesumat dengan mencari jalan perdamaian,” ujarnya.

Tun Faisal juga bekas Pengarah JASA itu turut menasihat Ku Nan segera hentikan tindakan sia-sia dan membuang masa itu.

“Cukup, sudah-sudahlah, umur sudah lanjut sepatutnya carilah jalan mendekatkan diri kepada Allah dan cari rahmat Ramadan,” katanya. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas