Berita

15 amaran dikeluarkan, 1 gerai diarah henti operasi

JALALUDDIN (dua kanan) ketika meninjau keadaan operasi Bazar Ramadan Presint 3, Putrajaya hari ini.
- Diterbit 17 April 2022 12:00 PM MYT

SEBANYAK 15 peniaga di Bazar Ramadan Putrajaya diberi amaran oleh pihak Perbadanan Putrajaya (PPj) sementara 1 gerai diarah henti operasi serta-merta.

Menurut Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, aspek kebersihan adalah perkara utama yang perlu dipatuhi pelesen.

“Sememangnya ketika peringkat awal sebelum bazar beroperasi, soal kebersihan serta suntikan anti-tifoid antara perkara penting wajib dipatuhi pelesen.

“Jika diabaikan maka tindakan serta-merta akan dikenakan,” ujar beliau mengulas berkenaan gerai ‘Mee Tonggek’ yang diarah tutup setelah didapati tidak bersih baru-baru ini.

Tambah beliau, pengunjung boleh membuat sebarang aduan secara terus ke bahagian operasi di bazar tersebut atau menghubungi talian PPj jika mendapati tahap kebersihan yang mencurigakan dan sebagainya.

Terdahulu, Jalaluddin meninjau keadaan operasi Bazar Ramadan Putrajaya setelah 15 hari dibuka kepada umum.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP), Datuk Rosida Jaafar, Naib Presiden Kanan PPj, Datuk Fadlun Mak Ujud dan Naib Presiden Perkhidmatan Bandar, Nik Shukri Nik Soh.

Dalam pada itu, beliau turut beramah mesra serta mengedarkan 500 pek bubur lambuk dan kurma kepada pengunjung yang hadir. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas