Agama

Rebut ganjaran Syawal

- Diterbit 26 April 2024 12:10 PM MYT

SETELAH sebulan berpuasa, tibanya bulan Syawal bagi meraikan kemenangan umat Islam setelah berjaya mengawal nafsu di sepanjang bulan Ramadan.

Menjengahnya bulan Syawal yang ditunggu-tunggu, antara amalan sunat yang boleh dilakukan adalah ibadah puasa sunat enam hari yang mendapat ganjaran yang besar.

Rasulullah SAW telah menyebut bahawa sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudian dilanjutkan dengan enam hari pada bulan Syawal, ia akan dianggap seperti berpuasa sepanjang tahun.

Pendakwah bebas, Shahrin Abd Rahman berkata puasa enam hari dalam bulan Syawal disarankan oleh Baginda yang boleh dilakukan sama ada secara berturutan atau terpisah.

“Puasa enam hari pada bulan Syawal mempunyai keutamaan yang istimewa. Meskipun puasa ini hanyalah sunat, tetapi mendapat ganjaran pahala yang besar bagi mereka yang melakukannya.

“Dan ia merupakan satu peluang terbaik untuk menambah lagi pahala amalan setelah berpuasa sebulan Ramadan,” kata beliau ketika dihubungi.

Tambah Shahrin, selain itu terdapat nikmat lain yang dapat diperlolehi bagi umat Islam yang menunaikannya.

“Puasa enam akan menggenapkan pahala berpuasa setahun penuh. Dalam masa sama, ia juga sebagai tanda kesyukuran kepada Allah SWT dan juga menandakan bahawa puasanya berterusan, istiqamah dan bukan bermusim yakni setahun sekali.

“Bahkan ia akan ­menambahkan ketakwaan yang merupakan jalan menuju ke syurga,” jelasnya.

Menurut Shahrin, cara berpuasa enam hari yang paling terbaik dilakukan secara berturutan namun jika tidak mampu boleh dilaksanakan secara berselang.

“Paling afdal adalah berturut-turut selepas hari pertama bulan Syawal (iaitu mulai 2 Syawal). Walau bagaimanapun ia juga boleh dilakukan secara berselang-seli, berturut-turut atau mana-mana hari dalam bulan Syawal selain hari pertama Hari Raya Aidilfitri selain boleh menggabungkan sekali puasa enam serta puasa ganti,” ujarnya.

Shahrin turut menjelaskan adalah lebih baik jika tidak berpuasa enam apabila mahu menerima tetamu.

“Meraikan tetamu adalah lebih afdal. Jadi puasa enam tidak menjadi halangan kerana terdapat kelonggaran di dalam menunaikannya,” katanya.

Beliau turut menasihati mereka yang mahu melakukannya agar mengikut kekuatan diri untuk mengelakkan daripada memudaratkan kesihatan.

“Puasa enam adalah sunat sahaja dan tidak menjadi satu kewajipan kepada sesiapa yang tidak mampu terutama orang tua atau yang terlalu uzur. Berpuasa enam adalah untuk mendapat reda Allah dengan penuh keikhlasan hati.

“Dan kita tidak melakukan ibadah puasa semata-mata kerana ia menjadi satu kewajipan tetapi kerana rasa diri kita sebagai seorang hamba yang benar-benar bersungguh-sungguh untuk taqarrub kepada Allah SWT.

“Kerana itulah kata ulama, betapa malangnya orang yang hanya mengenal Allah pada bulan Ramadan sedangkan pada bulan lain Allah SWT dilupai,” ujarnya.  – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas