Utama

CBP, PR1MA bantu rakyat miliki kediaman

KHAIRIL (kanan) bertukar memorandum persefahaman (MoU) bersama Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA, Datuk Seri Mohd Nazri Md Shariff (kiri) sambil disaksikan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, baru-baru ini.
- Diterbit 3 Februari 2023 3:02 AM MYT

CO-OPBANK Pertama (CBP) bersama PR1MA menjalinkan kerjasama menerusi Skim CBP MyPR1MA bagi membantu golongan pertengahan memiliki kediaman sendiri di seluruh negara.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif CBP, Khairil Anuar Mohammad Anuar, melalui skim tersebut, pembeli rumah PR1MA boleh mendapatkan pembiayaan sehingga 110 peratus termasuk pembiayaan perumahan, kos guaman dan takaful daripada CBP di seluruh negara.

“Selain itu, pembeli rumah PR1MA tidak perlu membayar wang pendahuluan selari dengan hasrat kerajaan untuk membantu rakyat di negara ini memiliki kediaman sendiri.

“Kadar keuntungan yang ditawarkan juga adalah sangat kompetitif sama seperti institusi kewangan lain di pasaran.

“Antara kelebihan jika orang ramai mendapatkan pembiayaan di CBP adalah pembiayaan sehingga 110 peratus di mana dapat memberi perlindungan risiko komprehensif yang amat bermanfaat terutama kepada pembeli rumah pertama,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Di samping itu, Khairil Anuar memaklumkan CBP turut menawarkan pelbagai pembiayaan perumahan termasuklah Pembiayaan Al-Amali (rumah dan lot kedai), Pembiayaan Ar-Rahah (pembiayaan tanah) dan CBP Rumah Pertamaku.

“Orang ramai yang ingin mendapatkan pembiayaan perumahan dan produk serta perkhidmatan perbankan lain, boleh layari www.cbp.com.my atau kunjungi 29 cawangan CBP di seluruh negara,” tambah beliau.

Untuk rekod, perniagaan CBP pada tahun 2022 telah menunjukkan prestasi yang sangat baik dengan kedudukan aset kini telah melebihi RM7 bilion iaitu merupakan yang tertinggi dalam sejarah penubuhannya.

Sementara itu, CBP juga sedang membuka langganan syer anggota bagi tambahan syer serta ahli baharu di seluruh cawangan CBP. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas