Berita

236 notis dikeluarkan sepanjang Op Khas sempena Tahun Baharu Cina

MOHD Zaki (tengah) turut menasihati pemilik dan penunggang motosikal supaya patuh terhadap peraturan dan undang-undang agar tidak membahayakan pengguna jalan raya yang lain. Kredit foto: Facebook JPJ WPKL
- Diterbit 3 Februari 2023 2:55 AM MYT

KESALAHAN membabitkan penunggang motosikal menunjukkan penurunan signifikan sepanjang empat hari penguatkuasaan Op Khas Motosikal sempena Tahun Baharu Cina berbanding tempoh sama tahun lepas.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Mohd Zaki Ismail berkata sebanyak 236 notis kesalahan dikeluarkan membabitkan kesalahan tiada lesen memandu berbanding 1,130 dalam tempoh sama tahun lalu.

“Hasil pemerhatian kami dapati kebanyakan pengguna sangat patuh kepada peraturan JPJ semasa berada di atas jalan raya yang mana kesalahan seperti tidak memakai topi keledar, tidak pakai tali pinggang keledar dan tidak menggunakan telefon bimbit semasa memandu sangat sedikit bilangannya kali ini,” ujar beliau selepas meninjau Op Khas Motosikal di Plaza Tol Sungai Besi baru-baru ini.

Mengulas mengenai operasi tersebut, Mohd Zaki memaklumkan seramai 57 anggota JPJ bersama agensi penguatkuasaan keselamatan lain iaitu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) yang keseluruhannya membabitkan kekuatan anggota seramai 93 orang terlibat dalam operasi bermula 8 malam hingga 12 tengah malam itu.

“Dalam op tersebut, sebanyak 134 notis dikeluarkan membabitkan kesalahan berkaitan Lesen Kenderaan Motor (LKM), nombor pendaftaran (35), tiada lesen (59), tiada cermin sisi (tiga) dan lain-lain kes (lima).

“Imigresen turut memeriksa seramai 17 warga asing dan menahan seorang lelaki warga Pakistan kerana dokumen perjalanan dirinya tamat tempoh manakala AADK menahan seorang lelaki positif dadah hasil pemeriksaan terhadap 12 individu,” ujarnya operasi pada kali ini memberi fokus kepada semua jenis kesalahan berkaitan pelesenan pemandu, pelesenan kenderaan dan lain-lain kesalahan teknikal.

Dalam pada itu, beliau juga memberi nasihat kepada pemilik dan penunggang motosikal supaya patuh terhadap peraturan dan undang-undang agar tidak membahayakan pengguna jalan raya yang lain. Tambahnya lagi, untuk sebarang aduan trafik, orang awam boleh menyalurkan kepada [email protected] atau platform aplikasi e-aduan@JPJ berserta dengan butiran lengkap pengadu dan aduan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas