Berita

5,000 baucar untuk penyewa PPR/PA

INISIATIF pemberian baucar tunai RM50, RM30 dan cenderahati bagi menggalakkan penyewa PPR dan PA
- Diterbit 3 Februari 2023 4:40 AM MYT

PENYEWA Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) di bawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ditawarkan baucar tunai sebagai galakan untuk menjelaskan sewa atau tunggakan sewa dalam masa yang ditetapkan.

Pengarah Jabatan Pembangunan Komuniti Dan Kesejahteraan Bandar DBKL, Ismadi Sakirin berkata pemberian baucar tunai merupakan hadiah daripada DBKL kepada penghuni PPR/PA yang tidak culas membayar sewa.

“Seperti yang kita sedia maklum, DBKL menghadapi isu tunggakan sewa PPR/PA yang agak tinggi. “Melalui pemberian baucar dan saguhati ini, ia boleh menjadi galakan untuk setiap penyewa lebih bertanggungjawab untuk melunaskan sewa atau tunggakan supaya ia boleh dimanfaatkan untuk pembangunan PPR dan PA,” katanya kepada Wilayahku pada Selasa.

Jelas Ismadi, sebanyak 5,000 keping baucar tunai bernilai RM50 dan RM30 ditawarkan kepada penyewa terawal yang membuat bayaran sewa tanpa tunai atau secara cashless sahaja yang layak mendapatkan ganjaran tersebut.

“Tawaran baucar ini bermula dari Januari hingga Mac 2023 dan penyewa yang memenangi baucar tersebut boleh melakukan pembelian barang di kedai/mini market/ supermarket yang terpilih sekitar Kuala Lumpur,” katanya.

Menjelas lanjut, Ismadi berkata penyewa yang menjelaskan keseluruhan tunggakan sewa dan membuat bayaran sewa secara pendahuluan untuk caj sewa setahun akan diberikan baucar bernilai RM50.

“Untuk penyewa yang telah menjelaskan keseluruhan tunggakan sewa dan pada masa sama membuat bayaran sewa semasa pula akan diberikan baucar bernilai RM30.

“Selain itu, penyewa menjelaskan keseluruhan tunggakan serta sewa semasa atau penyewa yang mempunyai tunggakan sewa RM3,000 dan ke atas menjelaskan keseluruhan tunggakan atau minima RM3,000 daripada jumlah keseluruhan tunggakan turut akan menerima cenderahati,” katanya.

Tambahnya, tawaran yang diberikan adalah terhadap kepada pembayar terawal sahaja dan baucar tunai serta cenderahati itu akan diserahkan pada hari program atau boleh dituntut di Menara DBKL 3, Kampung Baru.

Menurut Ismadi, semua penyewa PPR/PA layak menyertai program tersebut sekiranya memenuhi syarat yang ditetapkan dan mereka akan dimaklumkan selepas tamat tempoh tawaran pada Mac 2023.

“Penyewa perlu mengemukakan bukti bayaran dan kakitangan DBKL akan menyemak bukti pembayaran dalam sistem Dreams atau CSSP sebelum penyerahan cenderahati dilakukan,” katanya sambil menambah penyewa hanya layak untuk menerima satu sahaja cenderahati atau baucar tunai meskipun penyewa membuat bayaran pendahuluan bagi dua tahun atau lebih.

Dalam pada itu, Ismadi berkata sehingga pihaknya menanggung tunggakan sewa lebih RM27.2 juta yang melibatkan 19,956 akaun penyewa yang masih menyewa. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas