Berita

Program 1 Produk 1 Komuniti: Sabun minyak masak dapat sambutan

KOMUNITI Presint 8 sedang menghasilkan sabun daripada minyak masak terpakai
- Diterbit 26 April 2024 10:45 AM MYT

KEMAHIRAN menghasilkan produk menggunakan barangan kitar semula oleh komuniti Putrajaya dilihat mampu menjadi salah satu tarikan kepada pelancong.

Menerusi Program 1 Produk 1 Komuniti, pelbagai produk telah dihasilkan oleh penduduk di pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan tersebut yang terdiri daripada barangan kitar semula, flora dan fauna.

Menurut Pengerusi Persatuan Penduduk P8E2, Zarina Ismail, program tersebut telah dimulakan sejak lima tahun lalu di mana ia bertujuan untuk meningkatkan ekonomi komuniti setempat.

PELBAGAI reka bentuk sabun berjaya dihasilkan.

“Dalam masa sama penghasilan produk daripada barangan kitar semula ini turut menyumbang kepada pemerkasaan Bandar Mampan Putrajaya menerusi inisiatif ESG 2030.

“Antara produk yang dihasilkan adalah sabun basuh pinggan dan baju sama ada dalam bentuk cecair atau buku yang dihasilkan daripada minyak masak terpakai dan tanaman pokok bidara.

“Umum mengetahui Putrajaya juga terkenal dengan hasil madu kelulut di mana produk hilirannya terdiri daripada sabun badan dan muka madu kelulut,” katanya yang juga merupakan Pengerusi Koperasi Komuniti Penduduk Putrajaya Berhad.

Tambahnya, kesemua produk tersebut dipasarkan sendiri oleh komuniti setempat, menerusi Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) dan juga kerjasama dengan Koperasi Komuniti Penduduk Putrajaya.

Mengulas lanjut, Zarina berkata di Presint 8 mereka lebih tertumpu kepada penghasilan produk kitar semula daripada minyak terpakai.

“Pada awalnya kita mencari peluang bagaimana minyak masak terpakai ini dapat menyumbang kembali kepada ekonomi justeru itu kita dapat idea untuk hasilkan sabun cecair dan buku di mana ia dijual pada harga serendah RM1.50 mengikut saiz.

“Produk ini juga kita jual dalam bentuk hamper atau sebagai cenderahati sekali gus menyaksikan ramai pelancong luar yang datang dan menyatakan minat dengan produk tersebut.

“Selain itu, dari segi pendidikan dan kesedaran pula, MPP Sub Zon 3 telah berjaya mendidik komuniti bersama keluarga agar tidak membuang minyak masak terpakai di dalam sinki, longkang dan tanah yang akan menyebabkan kepada pencemaran tasik di Putrajaya,” ujarnya.

Dalam pada itu, Zarina berkata mereka juga dalam perancangan untuk mewujudkan Pusat Ekonomi Komuniti Setempat (PEKS@8) di Fasa 4A Presint 8.

“Tempat ini juga akan dijadikan sebagai Community Based Tourism untuk kita mengumpulkan kesemua produk komuniti dan Kebun Komuniti Bandar bagi dijual semula sama ada kepada pelancong luar, dalam mahupun komuniti sendiri,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas