Berita

Kemajuan Malaysia dalam STI positif

- Diterbit 26 April 2024 9:05 AM MYT

MENGGALAS tanggungjawab sebagai Menteri di Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Chang Lih Kang memberi fokus terhadap kepentingan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI).

Ahli Parlimen Tanjung Malim ini sentiasa berusaha untuk memastikan rakyat cakna mengenai peranan MOSTI kepada negara.

Untuk mengetahui lebih lanjut perkembangan positif STI serta cabaran dan usaha yang dilalui sepanjang membawa portfolio sebagai Menteri MOSTI pada Disember 2022, ikuti temu bual eksklusif Wilayahku untuk kolum YB minggu ini.

Sejak menjadi Menteri, bagaimanakah YB melihat bidang Sains, Teknologi dan Inovasi di negara kita?

Bermula menggalas tanggungjawab sebagai Menteri MOSTI pada 3 Disember 2022, saya dapati kemajuan Malaysia dalam Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) telah menunjukkan perkembangan yang positif dengan cabaran yang semakin tinggi.

Antara perkembangan positif yang boleh dilihat ialah Malaysia berada di kedudukan ke-36 dalam Indeks Inovasi Global (GII) selepas pandemik COVID-19 dan mengukuhkan kedudukan kedua dalam kalangan negara berpendapatan sederhana atas untuk inovasi.

Terdapat juga peningkatan pelaburan dalam R&D apabila kerajaan telah meluluskan 116 permohonan untuk projek R&D dengan jumlah peruntukan RM257 juta, yang menunjukkan komitmen negara untuk meningkatkan aktiviti penyelidikan dan pembangunan dalam sains dan teknologi.

Sementara dalam usaha untuk meningkatkan kemajuan ekonomi negara dan mengurangkan pergantungan terhadap teknologi luar, kerajaan telah meletakkan fokus yang tepat pada sektor strategik. Inisiatif seperti pembangunan pelan hala tuju AI, pembangunan vaksin, robotik dan teknologi hidrogen menunjukkan usaha kerajaan untuk memajukan bidang tertentu dalam sektor strategik.

Menyedari kepentingan untuk ekosistem start up berkembang maju, kerajaan memperkukuh ekosistem start up melalui pelaksanaan Pelan Hala Tuju Ekosistem Start up Malaysia 2021-2030 yang bertujuan untuk membangunkan teknologi tempatan dan usahawan yang berpotensi melalui inovasi masa hadapan.

Boleh YB terangkan portfolio yang diketuai dan apakah agensi-agensi di bawah kementerian ini?

Fungsi MOSTI merangkumi pembangunan Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE), perkhidmatan STI serta perancangan dan pembudayaan STIE.

Fokus utama pembangunan STIE ialah dalam pembangunan R&D eksperimental, pengkomersialan, pengurusan dana, teknologi terkini, penciptaan teknologi dan start-up. Manakala fokus perkhidmatan STI ialah dalam teknologi terkini, pendigitalan, analisis data raya dan perkongsian kepakaran. Perancangan dan pembudayaan STIE lebih berfokus kepada dasar dan pembangunan bakat STI.

MOSTI juga berperanan sebagai pemudah cara dalam membina ekosistem sains dan teknologi yang komprehensif yang merangkumi STIE, perkhidmatan STI serta perancangan dan pembudayaan STIE.

Dua jabatan yang memberi perkhidmatan STI adalah Jabatan Kimia Malaysia dan Jabatan Tenaga Atom Malaysia serta dua agensi iaitu Agensi Angkasa Malaysia dan Agensi Nuklear Malaysia. Terdapat dua badan berkanun di bawah MOSTI iaitu Akademi Sains Malaysia (ASM) dan Malaysia Board of Technologists (MBOT). Lapan syarikat milik kerajaan dan tiga syarikat berhad dengan jaminan kerajaan juga berada di bawah MOSTI antaranya ialah MRANTI, CRADLE, MTDC, MIGHT dan Institut Bioteknologi Kebangsaan Malaysia (NIBM). Terdapat satu yayasan di MOSTI iaitu Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) dan sebuah agensi badan profesional iaitu Institut Kimia Malaysia (IKM).

Difahamkan, MOSTI sebelum ini komited membangunkan vaksin buatan sendiri, apakah status mengenai perkara itu?

Sebagaimana yang kita sedia maklum, pembangunan vaksin manusia melibatkan tempoh masa yang panjang serta pelaburan yang besar. Selain dalam usaha membangunkan vaksin manusia tempatan bersama-sama KKM dan KPT, negara juga dalam usaha untuk memperoleh vaksin melalui kerjasama secara pemindahan teknologi dari negara-negara lain yang didapati berpotensi dalam kerjasama ini. Malaysia kini dalam fasa satu pembangunan vaksin tempatan di mana menjelang 2027, dua vaksin tempatan akan berada di fasa pra-klinikal.

Bagaimana memahamkan rakyat mengenai peranan dan tanggungjawab MOSTI kepada negara?

MOSTI sentiasa komited dalam usahanya meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan STI. Ini kerana STI berupaya menambah baik kualiti kehidupan seharian dan usaha itu akan diterjemahkan menerusi slogan Merakyatkan Sains, Menginsankan Teknologi dan Mengarusperdanakan Inovasi.

Bagi menyokong usaha pembudayaan dan mempromosikan STI di Malaysia secara holistik, satu rangkaian kerjasama berpusat melibatkan institusi pembelajaran sains bukan formal iaitu Rangkaian Kolaborasi Pusat Sains Malaysia (MySCENT) telah ditubuhkan. Pelbagai aktiviti pembudayaan STI yang lebih strategik, dinamik dan seiring dengan tren global semasa dapat dilaksanakan dengan lebih meluas dan berkesan dengan penubuhan MySCENT ini.

Selain itu, pelbagai inisiatif kepada rakyat juga dilaksanakan seperti pembangunan telaga tiub, Ruang Daya Cipta (RDC) dan pembangunan benih padi tahan iklim dan tahan penyakit (padi nuklear). MOSTI juga telah berkongsi sistem berpandukan data satelit bersama agensi dan kerajaan negeri seperti sistem untuk memantau penanaman padi seperti MAKGEOPADI dan juga Sistem Penentuan Lokasi Penangkapan Ikan (Fishing Site Identification – FSI) yang berupaya membantu nelayan untuk mendapat hasil yang lebih lumayan.

Rakyat akan lebih cakna mengenai peranan dan tanggungjawab MOSTI kepada negara apabila mereka melihat dan mengalami sendiri impak STI dalam peningkatan kualiti hidup mereka seharian.

Di bawah MOSTI, terdapat Agensi Nuklear, bolehkah YB terangkan apakah keperluan agensi ini di Malaysia?

Agensi Nuklear di Malaysia bermula pada 11 November 1971 apabila satu jawatankuasa yang dikenali sebagai Pusat Penyelidikan dan Aplikasi Tenaga Nuklear (CRANE) ditubuhkan, bagi mengkaji kemungkinan Malaysia menceburi bidang teknologi Nuklear. Pada 13 April 2005 agensi ini telah digazet dengan nama baru iaitu Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia). Kini Agensi Nuklear Malaysia berperanan sebagai organisasi R&D utama bidang sains dan teknologi nuklear di Malaysia. Agensi ini juga berperanan untuk mengkomersialkan teknologi nuklear, memberi pendidikan dan latihan dalam memastikan penggunaan bahan radioaktif yang selamat serta menerbitkan pelbagai bahan penerbitan berkaitan sains dan teknologi nuklear.

Di antara sumbangan agensi ini kepada negara termasuklah menyelaras dan mengurus hal ehwal nuklear kebangsaan dan antarabangsa serta menjadi penghubung Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) dan Pihak Berkuasa Kebangsaan Bagi Pelaksanaan Triti Pengharaman Menyeluruh Ujian Senjata Nuklear (CTBT). Selain itu, agensi ini memainkan peranan penting menjadi Pusat Kebangsaan Kepada Metrologi Sinaran Dan Pengurusan Sisa Radioaktif.

Dalam perubatan jitu pula, agensi nuklear telah membangunkan penghasilan agen pembawa cold kit (DTPA & EDTMP) yang merupakan kit radiofarmaseutikal untuk menyokong perubatan jitu. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas