CKB

Belajarlah menyaring maklumat

- Diterbit 22 Disember 2023 3:10 PM MYT

BANJIR adalah fenomena air yang melimpah disebabkan aliran terhalang atau kuantitinya terlalu banyak pada satu-satu masa. Sifat fizikal air itu pula lebih kurang sama sahaja dengan teh tarik yang menjadi kegemaran ramai.

Segelas teh tarik memang sangat enak diminum. Tetapi cuba bayangkan sekiranya teh tarik itu seperti air Sungai Klang di tengah-tengah Kuala Lumpur yang melimpah. Sudah tentu bukan sahaja hilang enaknya malah mengundang bahaya.

Maknanya sesuatu perkara atau perbuatan tidak boleh berlebihan, sebaik-baiknya hanya pada skala yang sesuai dengan keperluan. Apabila air berlebihan akan menyebabkan limpahan dan seterusnya banjir.

Itu kisah air. Perkara itu sama juga dengan kuantiti maklumat yang banyak dan datang seperti aliran sungai pada musim tengkujuh. Aliran yang bertukar ganas itu merempuh dan meninggalkan kesan buruk pada kesihatan mental sesetengah individu.

Pada era digital, limpahan itu selalu juga disebut sebagai ‘information overload.’ Maklumat melimpah disebabkan terlalu banyak saluran yang membawa maklumat kepada kita termasuk yang sama sekali tidak diperlukan.

Istilah ‘information overload’ muncul pertama kali dalam buku The Managing of Organization tulisan ahli sains sosial, Profesor Bertam Gross tahun 1964. Bagaimanapun istilah itu menjadi popular selepas digunakan oleh Alvin Toffler dalam bukunya, Future Shock (1971).

Alvin Toffler adalah seorang yang dianugerahkan kelebihan, dia mempunyai kuasa meramal yang luar biasa. Dalam Future Shock yang ditulis 50 tahun lalu dia meramalkan kewujudan e-mel, integrasi media dan media dalam talian pada abad ke-21.

Akhirnya sebahagian besar daripada ramalan itu menjadi kenyataan sejak dekad pertama abad ke-21. Ketika itu maklumat mulai melimpah dengan berleluasanya jaringan global seperti Internet dan globalisasi pun mulai mendakap planet bumi.

Sekarang ini dianggarkan tidak kurang daripada 1.8 bilion laman web termasuk portal berita di seluruh dunia. Daripada jumlah laman web itu, terdapat tidak kurang 820, 240 hantaran (posting) dibuat dalam sehari atau 34,260 hantaran sejam. Bayangkan gelombang maklumat yang berlaku pada era digital ini.

Apakah itu limpahan maklumat? Secara mudah keadaan itu menunjukkan aliran masuk maklumat yang kemungkinan singgah di peranti (misalnya telefon pintar) terlalu banyak mencakupi pelbagai isu.

Dalam kuantiti yang banyak itu, hanya sedikit sahaja yang benar-benar relevan dengan kita. Selebihnya seperti sampah sarap yang tidak mendatangkan manfaat. Sementara sifat lambakan itu adalah pengulangan yang keterlaluan.

Kepada yang tidak bijak menyaring, limpahan itu boleh menyebabkan kekeliruan dalam membuat keputusan, tekanan perasaan dan keletihan mental yang luar biasa. Perkara itu berlaku disebabkan oleh keterbatasan otak memproses maklumat yang terlalu banyak.

Dalam bidang kesihatan mental, perkara yang berlaku itu disebut ‘cognitive overload.’ Ia boleh mendatangkan kesan buruk pada kesihatan mental individu yang terdedah dengan limpahan maklumat itu.

Lemas dalam limpahan

Sindrom demikian mencipta satu rupa kehidupan sosial yang baharu, dunia seolah-olah menjadi sempit serta melemaskan, sementara maklumat pula bergumpalan bagai awan hitam mencari mangsa.

Nampak seperti kelakar tetapi kepada mangsa yang menderita kesan limpahan, itu satu tragedi. Sekalipun begitu banyak dalam kalangan ahli masyarakat kurang mengetahui tentang sindrom berkenaan dan cara menghindarnya.

Limpahan maklumat boleh mencetuskan tiga keadaan. Pertama; kualiti dan akurasi maklumat sudah mencair, malah banyak yang palsu. Kedua; berlaku pengulangan yang keterlaluan serta bertindih antara satu dengan lain. Ketiga; mewujudkan terlalu banyak perspektif yang akhirnya membawa pada kekeliruan.

Akibatnya berlakulah sindrom kerisauan melampau (anxiety). Mangsa telah dikepung dan dilemaskan oleh maklumat yang tidak sepatutnya diterima. Banyak masa terbuang dengan sia-sia apabila memberi perhatian pada maklumat berkenaan.

Lihat sahaja ketika pandemik COVID-19 melanda dunia sejak tiga tahun lalu. Sebahagian besar warga dunia berdepan tekanan emosi hingga menjejas kesihatan mental. Tekanan itu bukan sahaja disebabkan pandemik, tetapi juga kesan lambakan maklumat yang berulang-ulang mengenai COVID-19.

Itu belum lagi ‘entah siapa-siapa’ tiba-tiba muncul sebagai ‘profesor serba tahu’ tentang pandemik. Seolah-olah menjadi jurucakap Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Individu seperti itu tidak ada wibawa, tetapi mendapat perhatian dalam kalangan mangsa limpahan maklumat.

Dalam media tempatan juga penuh dengan berita COVID-19. Tidak cukup itu dilambakkan pula angka-angka dan diulang-ulang saban hari hingga penonton rasa loya dan tertekan. Banyak yang tidak sedar sudah dipusarkan dan akhirnya menderita sindrom kerisauan melampau.

Siapa yang hendak menyelamatkan supaya kita tidak terperangkap dalam limpahan maklumat? Siapa lagi, kita sendirilah yang menguruskan diri supaya hanya menerima maklumat yang memberi manfaat, bukan yang mendatangkan ancaman pada kehidupan.

Bagaimana hendak menguruskan diri tidak berlaku limpahan maklumat? Hal ini perlu dilakukan atas kesedaran dan menjadikan diri sentiasa celik media. Celik huruf sahaja bukan jaminan menjadikan kita celik media.

Malah permasalahan besar yang diapungkan oleh Alvin Toffler dalam Future Shock adalah buta media dalam berdepan dengan perkembangan teknologi komunikasi yang tidak ada garis sempadannya.

Kalau era awal merdeka dulu kerajaan menggerakkan usaha membasmi buta huruf. Tetapi ketika ini sepatutnya perlu ada usaha membasmi buta media yang gagal memilih maklumat.

Usaha kendiri yang penting sekali adalah tahu apakah maklumat yang diperlukan. Ada beribu malah berjuta maklumat, tetapi bukannya semua itu mesti diambil tahu. Pilih yang ada keperluannya dengan kehidupan kita.

Masa lebih bernilai daripada emas. Disebabkan begitu berharganya masa, hadkan sumber maklumat pada tiga atau paling banyak pun hanya empat sahaja. Misalnya kita hanya mendapat perkembangan terbaru dari tiga portal berita sahaja.

Pilih yang ada wibawa misalnya pasukan editorial diyakini dan mempunyai rekod lampau yang baik. Boleh juga memilih satu atau dua portal atau surat khabar dalam talian dari luar negara yang berwibawa.

Ingat, tidak ada anggota dari Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) yang boleh menyelamatkan kita daripada lemas dalam pusaran maklumat yang ganas.

Semua mesti dihadapi sendiri dengan tekad mengawal maklumat dan bukan membiarkan maklumat yang mengawal kita. Mulakan tekad baharu untuk tidak menjadi ‘serba tahu’ tentang perkara-perkara yang tidak membawa manfaat.

KU SEMAN KU HUSSAIN, Wartawan Bebas

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas